GE KETUPAT

Tau tak mereka yang pakai Honda Jazz sebelum tahun 2013, sebenarnya terdiri daripada mereka yang kaya raya. Rumah besar, orang gajian ada, uwang banyak. Semuanya gara-gara struktur percukaian kita yang agak menekan. Bayangkan sebuah kereta sebesar kotak mancis macam ini, memiliki tag harga sehingga RM110K.

Perlaksanaan AFTA berjaya menghapuskan jumlah duti import yang dikenakan. Namun pengurangan tersebut tidak memberi kesan yang ketara. Sehinggalah Honda Malaysia mengambil keputusan untuk memperkenalkan versi CKD pada pertengahan tahun 2013. Langkah tersebut memungkinkan ia dijual pada harga lebih kompetitif dan terus kekal stabil sehingga kini.

Pengenalan generasi baru tidak menenggelamkan populariti model ini dalam kancah modifikasi. Benda masih sama, cuma rupa dan komponen tertentu saja yang berbeza. Bila dah siap dengan komponen berprestasi macam kereta Din ni, ia tentu tak jadi murah macam yang dijangka.

Berbanding salinan enjin K20A dari Civic FD2R atau Integra DC5R, nadi kereta ini dibina secara total menggunakan blok K24 sebagai asas. Ia kemudian telah dipertingkatkan, dengan rangkaian komponen berprestasi kelas bangsawan. Bermula dengan penempatan sleeve silinder S90, diikuti penggunaan set piston 88mm CP Carrillo, conrod Pro A CP Carrillo, serta galas enjin ACL Race.

Bahagian kepala silinder dihantar untuk proses port & polish oleh Nasty Port Flow sebelum diisi komponen sepatutnya. Ada set injap Ferrea, cam gear ekzos Skunk2, serta spring injap dan retainer Drag Cartel. Bagi menjana lebih kuasa dari sistem pemasaan, durasi bukaan injap dibantu sepasang camshaft 3.2 dari Drag Cartel. Sebelum dicantumkan, ia dilapik gasket keluli Supertech serta diikat kemas dengan stud dari ARP.

Kemasukan udara dibuat dari penapis udara Simota, melalui sebuah ram udara kustom. Ia dikumpul dalam manifold kemasukan Skunk2 Ultra dengan tambahan spacer 0.5-liter, sambil dikawal unit throttle body 76mm Super90.

Hantaran bahan api pula datang dari pam petrol HD 225. Ia dibawa ke rel bahan api Skunk2, sebelum ditembak masuk menggunakan set injektor Skunk2-Grams 550cc. Menjamin kuasa yang setimpal, perjalanan enjin kini diurus sepenuhnya oleh unit ECU Hondata K-Pro V4.

Agak rugi kalau kuasa yang dijana, gagal dihantar ke bahagian roda dengan sempurna. Untuk itu, kotak gear yang digunakan telah dikacuk dengan set gear PPG, Civic FD2R dan Integra DC5R. Turut membantu, unit LSD 1.5 dari Kaaz, serta set klac plet berkembar OS Giken STR. Senarai komponen berprestasi lain meliputi penggunaan takung minyak kustom, pam minyak S2000, pulley crankshaft Fluidampr, rantai pemasa Toda, adaptor rantai pemasa Drag Cartel, penyejuk minyak GReddy, termostat Mugen, adaptor manifold K-Tuned, serta unit tensioner, penutup minyak, pengikat bateri, radiator, penutup radiator dan hos radiator dari Skunk2.

Bahagian luar membawa gaya ‘thailook’ yang makin diterima ramai. Dengan kaler nardo grey sebagai dasar, ia kemudian diserikan dengan komponen gentian karbon di bahagian pintu dan tailgate. Tidak ketinggalan penggunaan hood gentian karbon J’s Racing, bumper GE Thailand, grill depan Modulo, lampu depan smoke, serta lampu belakang Stellar V.

Selari dengan perubahan ini, bahagian roda menempatkan rim ultra femes jenis Volk Racing TE37 yang dibalut pada tayar Hankook Ventus Z221 bersaiz 195/55R-15. Kedudukan kereta kemudian ditetapkan pada set suspensi Tein Flex. Manakala kuasa hentian, dibantu kit brek AP Racing 5000R di bahagian depan.

Bahagian dalam masih mengekalkan sebahagian besar komponen asas, kecuali sepasang tempat duduk Recaro SR6 di bahagian depan. Aspek pemantauan datang dari gugusan meter Defi, serta unit paparan gear Ultra. Komponen tambahan lain termasuklah tuas gear K-Tuned, stereng Momo, juga bar X pada pilar C.

Uwang dah keluar, masa ngan tenaga pun banyak dah abes. Kalau ada peluang menakluk Sepang, harap catatan masanya mampu setanding dengan maggi 2-menet. Baru nak sruuup, tau-tau sampai…

SPESIFIKASI