FAKE DOG

Walaupun keluarga Skyline telah wujud sejak era 50-an, namun kebanyakan peminat lebih terdedah kepada tiga model utama sahaja. Bermula dengan generasi kelapan R32 sebagai abang, R33 yang tengah, serta R34 untuk adik. Model-model generasi lain bukan tak wujud. Cuma tidak dipilih sebagai topik cerita menarik, memandangkan jumlahnya yang terhad dan sukar dikesan.

Kalau ikut kedudukan, model R32 sentiasa ditagih kerana status kecemerlangannya yang tersendiri. Malah pengecualian juga telah diberikan, untuk membolehkannya dibawa masuk ke negara Uncle Sam secara sah. Taraf R34 sebagai retis Hollywood pulak, menyebabkan nilainya terus mencanak macam rega minyak. Yang tinggal cuma model R33. Bukan kata tak bagus. Cuma kehebatan dirinya, sering dibayangi kelibat abang dan adik yang jauh lebih femes.

Skyline R33 GTS-T ini dibeli Lee, selepas seorang rakan membatalkan niat untuk meneruskan projek yang dirancang. Asasnya masih menggunakan enjin RB25DET yang asal. Tapi diperkuatkan dengan piston forged CP 87mm, pam minyak N1, serta set bearing enjin ACL Race di bahagian dalam enjin.

Untuk sistem pendesak, suapan udara dibawa terus ke mulut turbo jenis Turbonatics GTK650. Ia ditenggek pada manifold turbo T4, yang turut menempatkan sebuah wastegate dari Apexi. Sebaik dimampatkan, boost yang terbentuk akan disejukkan oleh unit intercooler GTR.

Paip intercooler asal yang melintang di tengah enjin, telah dibina semula secara kustom. Ia bersambung pada manifold kemasukan GReddy, yang turut memegang throttle body VH45DE. Lebihan boost yang tidak digunakan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type S.

Bekalan petrol dibawa oleh pam petrol Walbro 255. Ia ditembak masuk ke ruang kebuk pembakaran menggunakan set injektor 555cc, dengan kadar tekanan dilaras unit regulator Sard. Sistem nyalaan diperkuatkan dengan pek koil Mitsubishi serta kabel pencucuh MSD. Manakala unit ECU Haltech Sprint 500, diberi tugas mengawal setiap parameter secara optimum. Memastikan ruang enjin ini lebih kemas dan teratur, mana-mana komponen kurang perlu telah ditanggalkan, termasuk mengatur semula sistem pendawaiannya.

Kereta ni kalau standard, memang tak mari mana. Nampak macam Perdana pun ada. Oleh itu, ia perlu dipadankan dengan kit badan lengkap milik R33 GTR. Beberapa komponen lain turut diguna sama, seperti hood dan canard karbon fiber dari Auto Select, fender karbon fiber, lip depan kustom dan skirt sisi tambahan R34 GTR, diffuser belakang Top Secret, cermin sisi Ganador, lampu projektor kustom serta padanan spoiler GT dari Bee-R.

Ruang roda mengandungi rim Volk Racing TE37 dengan kaler berbeza, beserta tayar Westlake dari saiz 265/35ZR-18. Untuk sektor pengendalian, sistem gantungan dilengkapi set suspensi boleh laras Apexi N1. Bagi memantopkan respon bahagian ini, sistem stereng Hicas telah dimatikan dengan kit dari ORT, termasuk pemasangan lengan atas kustom pada suspensi depan, rod castor Nismo, kit camber ORT, serta bush rak stereng Super Pro. Baru boleh derip!

Menyilang di bahagian kokpit adalah set roll cage dari Auto Select. Ia turut dilengkapi sepasang bucket Bride, termasuk salinan papan pemuka R33 GTR. Kemudian ada stereng Sparco, tombol gear Nismo, meter utama Nismo, meter tambahan Defi serta meter a/f Innovate. Untuk tujuan kemasan, keseluruhan bumbung dan panel pintu telah dibalut semula dengan fabrik Alcantara.

Kalau tak kisah pasal status, model R33 mungkin pilihan paling bijak untuk mula memiliki sebuah jentera berprestasi. Harga boleh dengor, akan datang tak tahu lagi.  Walaupun tak femes macam abang dan adiknya, ia tetap sebuah Skyline khusus untuk mereka yang inginkan kelainan berbanding pilihan kebanyakan…