Drunken Master

Bila Luar Orang Nampak Biasa, Tapi Di Dalamnya Isi Luar Biasa

Tidak dinafikan, semua orang bermain kereta akan bermula dengan model-model tempatan. Melainkan dia adalah seorang yang berada, mungkin tidak memandang jentera-jentera Nasional ni. Jika ditanya, majoriti akan berasa lebih puas jika mengubah suai jentera mereka bermula dari 0 hinggalah jadi seperti yang diharapkan.

Mujurlah, di negara kita ni banyak mekanik-mekanik yang sentiasa menghasilkan idea-idea yang menarik untuk memastikan jentera di tangan beliau akan menghasilkan ‘result’ yang hebat. Walau kita main dengan kereta buatan tempatan sekalipun, ianya mampu menjadi hebat bersaing dengan jentera-jentera luar. Kenapa? Sebab kita boleh ‘convert’ untuk menjadi seperti mereka. Agak bernasib baik kerana pemimpin kita pada masa itu telah menjalankan kerjasama untuk membina kenderaan Nasional bersama dengan syarikat luar. Maka, mudahlah kita untuk mengadaptasikan apa yang model luar ada kepada kereta kita.

Kita bukan nak cerita tentang sejarah Proton, tetapi kita nak tengok apa yang orang boleh buat dengan model tempatan yang popular ini. Jentera keluaran tahun 1995 ini masih lagi kukuh dan relevan untuk digunakan di atas jalan raya negara kita. Namun, demi mendapat kelainan dan kuasa yang lebih mantap, seharusnya pemilik jentera ini memilih untuk menaik tarafnya menjadi lebih baik.

Enjin 4G15 yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun ini telah ditamatkan perkhidmatannya dan diganti dengan nadi berprestasi 4G63T milik Mitsubisi Evolution. Piston asal digantikan dengan piston Toyota Supra 2Jz dan menggunakan bearing jenama King keseluruhannya. Desakkan kuasa dinaik taraf dengan penggunaan turbo 23g. Selain itu, bagi menjana kuasa lebih baik, perlatan lain turut dipasangkan pada jentera ini antaranya wastegate Turbosmart 38mm, blow-off Shepdog , intake manifold Evo 3, throttle body S90 dan banana rekaan Tonnka yang disambungkan dengan sistem ekzos berakhir dengan muffler Regu di belakangnya.

Sistem penyejukkan udara dalam enjin dibantu dengan penggunaan intercooler GReddy dan sistem penyampaian bahan api diperkasakan oleh pam Walbro 255lph dan injektor Evo 6 560cc. Jentera ini juga telah diubah untuk bergerak dengan menggunakan 4 roda dan semestinya kotak gear asal Evo 3 ini beraksi keseluruhannya yang dibantu oleh klac D&D untuk menyampaikan segala kuasanya tanpa sebarang masalah.

Bagi melaraskan kedudukan yang lebih bersesuaian serta membantu dalam pengendalian, jentera ini dipasangkan dengan set suspensi boleh laras D2. Mungkin akan sedikit keras, tetapi untuk prestasi pemanduan, ini adalah antara yang terbaik. Kalau nak yang terbaik, terpaksalah berkorban sedikit.

Sistem brek Evo 3 telah diberi kepercayaan untuk memastikan jentera ini boleh diberhentikan ketika segala kuasanya dikeluarkan. Aspek keselamatan ini tidak boleh diambil endah kerana ianya melibatkan keselamatan penumpang, pemandu dan orang di sekelilingnya.

Boleh dikatakan ruang dalaman jentera ini telah mendapat salinan lengkap dari model Evo. Tempat duduknya adalah milik Evo 2 manakala segala panel pintunya termasuklah papan pemuka milik Evo 3. Diatasnya pula dipasangkan dengan deretan meter Defi 6 beradik yang membantu pemandunya memantau prestasi enjin dengan lebih mudah.

Luarannya pula diperhebatkan lagi dengan hood gentian karbon Kansai, cermin sisi Ganador Subaru dan juga sunroof Honda EG6. Yang lainnya masih setia dengan kit badan Proton Wira. Rim Volk Racing TE37 berukuran 17 inci bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08R mengambil tempat untuk menyerlahkan lagi rupa jentera ini. Memang sedap mata memandangnya. 4 kaki mengkais mat, jangan kau salah langkah je, kompem makan batu kat belakang!

SPESIFIKASI