Dijangka Akan Berada Di Pasaran Mulai Tahun 2024.


Brembo telah memperkenalkan sistem brek pintar yang dinamakan SENSIFY. Ia sebuah sistem brek yang menggunakan ciri kepintaran buatan (AI) dan aktuasi elektronik.

Seperti sedia maklum, sistem brek cakera masa kini memerlukan cecair hidraulik (sering disebut sebagai ‘minyak brek’) yang dipam dari takungan ke piston kaliper brek. Bagaimanapun, sistem Brembo SENSIFY mengesan arus elektrik dari pedal ke unit kawalan elektronik (ECU) yang kemudian mengarahkan bahagian pam hidraulik untuk mengepam cecair hidraulik ke piston brek.

Menurut Brembo, sistem brek SENSIFY tidak bergantung kepada pelbagai bahagian yang dicampur aduk. Sebaliknya ia sebuah sistem yang lengkap yang mana AI dan perisian memainkan peranan aktif. Data dikumpul akan menambah baik pengalaman memandu dan membolehkan sistem berkenaan dikemas kini selalu.

Cara sistem SENSIFY berfungsi:
Sensor akan mengesan pergerakan pedal brek.
Data daripada sensor itu disalurkan kepada unit kawalan elektronik (electronic control unit atau ECU).
ECU membuat pengiraan dan merumuskan strategi membrek.
ECU menghantar isyarat kepada pam brek.
Cecair brek ke piston brek.

Tindakbalasnya sangat pantas walaupun ia melibatkan lebih banyak proses.

Sebagai perbandingan, prinsip fungsi brek cakera kini ialah dengan menggunakan cecair brek (yang selalunya dipanggil sebagai “minyak brek”) dipam daripada takungan melalui unit kawalan ABS dan seterusnya ke piston brek. Perbezaan saiz di antara pam dan piston brek akan menghasilkan kuasa brek yang relatif. Sebab prinsip yang mudah inilah kenapa sistem brek cakera hidraulik masih digunapakai sehingga kini.

Tetapi Brembo berkata sistem SENSIFY juga mempunyai manfaat kepada kereta hibrid dan elektrik kerana ia boleh memaksimumkan ciri cas semula apabila membrek (braking regeneration). Justeru, tidak usah lagi gunakan bateri yang besar dan berat untuk meningkatkan prestasi serta jarak perjalanan.

Sistem SENSIFY dijangka akan berada di dalam pasaran mulai tahun 2024.

Kredit : Brembo