DARK RABBIT

Rasanya bukan model-model kereta dari Jepun saja yang mempunyai nama kelakar dan mengarut, sebab pengeluar dari Jerman seperti Volkswagen juga mempunyai pandangan yang pelik bila tiba bab memberi nama.

Ironinya, kebanyakan pengeluar kereta Jerman lebih gemar menggunakan abjad dan angka berbanding nama pada model keluaran mereka. Kalau BMW ada E46, Mercedes ada W124, Audi ada A4, Porsche ada 911. Mungkin kerana sikap mereka yang cukup teliti tentang ketepatan. Pernah dengor appointment pukul 11.11? Napa tak jumpa pukul 11 jer?

Di sebalik abjad dan angka tu, Volkswagen nampaknya mengambil sikap berkecuali. Mereka lebih selesa menggunakan nama, walaupun apa yang dipilih itu kadangkala tak masuk akal. Golf? Bukan sukan yang Tiger Woods main tu ke? Ikut pemahaman macam tulah. Tapi Golf juga berasal dari perkataan Jerman untuk Gulf Stream, sejenis fenomena cuaca yang berlaku di lautan Atlantik. Lebih pelik bila masuk jer ke pasaran Amareka, ia telah dijual dengan tag nama Rabbit! Dah gitu pulak…

Mujur ramai yang beli kereta bukan sebab nama, tapi kerana keperluan, kualiti dan prestasi. Biarpun namanya agak pelik, Golf masih kekal sebagai produk terlaris dari Volkswagen. Macam-macam varian pernah diperkenalkan, termasuk versi GTi yang cukup disegani.

Walaupun telah dibekalkan dengan enjin yang agak lazat, Acai tetap mengharapkan sesuatu yang lebih dari enjin berteknologi Jerman ini. Untuk tujuan tersebut, beberapa siri tingkat taraf telah dilakukan termasuk penggunaan conrod dan set piston bersaiz 83mm dari Wossner.

Penerimaan udara datang dari penapis K&N, lengkap bersama paip kemasukan MSR Performance. Untuk sistem penyampaian bahan api, pam petrol menggunakan unit bertekanan tinggi dari Autotech sebelum disalurkan kepada set injektor Audi S3. Tidak ketinggalan penggunaan set koil pencucuh Audi R8, actuator Turbosmart, injap diverter Forge Motorsport, serta unit intercooler Audi S3 yang lebih besar untuk menjamin proses sejukan yang sempurna.

Peningkatan diteruskan ke bahagian ekzos yang kini menggunakan downpipe rekaan SuperCircuit, sebelum dihubungkan kepada paip kustom sebesar 3-inci. Ia bukan saja membantu menghasilkan kuasa, tapi turut mengalunkan bunyi lebih menarik. Sesuai dengan peningkatan yang telah dibuat, unit ECU menerima proses reflash stage-2 untuk respon pecutan yang lebih baik.

Kuasa dari enjin disampaikan melalui kotak gear pintar DSG 6-kelajuan yang telah ditala semula. Memastikan cengkaman yang jitu, set tayar Good Year Eagle F1 bersaiz 225/40R-18 telah dipadankan pada rim Enkei NT03RR. Kedudukan kereta kemudian direndahkan menerusi set spring Eibach dan penyerap hentak Bilstein B8. Sementara sistem hentian pulak dipertingkatkan, dengan kit brek 6-pot AP Racing CP5060 di bahagian depan. Boleh wekang nih!

Gaya talaan kereta-kereta Euro biasanya cukup sleek dan ringkas. Contohnya kereta ini yang mungkin nampak macam takde apa. Bukan mainan kita, mana nak perasan. Ia sebenarnya telah dipadankan dengan kit badan milik Golf R meliputi komponen seperti bumper depan, bumper belakang, skirt sisi dan lampu belakang. Beberapa komponen lain termasuklah tambahan lip, skirt dan diffuser belakang Exotic Tuning, hood RevoSport, spoiler GT, juga eyelid dan canard karbon fiber.

Bahagian dalam masih berkeadaan asal, kecuali penggunaan sepasang tempat duduk Recaro SR7 di bahagian depan. Benda dah okey, nak tukar mendanya. Untuk pemantauan boost, suhu dan tekanan minyak, disediakan gugusan meter Defi Advance CR yang ditanam kemas pada perumah meter Osir. Sedikit dekorasi karbon fiber pada panel-panel penting, juga membantu menambah keceriaan pada ruang ini.