Jika tidak dimaklumkan, belum tentu ada yang boleh menduga yang kereta ini sebenarnya bukan sebuah Satria. Nampak sama, tapi bukan dia. Kepada yang kurang mengenali, ia adalah Mirage Colt generasi keempat, yang menjadi asas kepada model Satria tempatan sebelum ini.
Berapa banyak yang pernah tersesat, kurang dipastikan. Rasanya tak banyak mana dan sebijik yang sempat dikesan milik Adib yang menjadi bahan paparan kali ini. Dari dibiar mereput tanpa kasih sayang, ia telah dinaik taraf sesuai dengan tugas barunya sebagai atlet sukan pecut separuh masa.
Keseluruhan bahagian luaran telah disalin semula menggunakan kit badan model tertinggi Mirage Cyborg R. Ia boleh dikenalpasti menerusi rekaan bumper depan dengan lampu fog kecik, tambahan lip depan, skirt sisi, spoiler, termasuk posisi plet belakang pada ruang bumper. Bahagian hood dilengkapi komponen karbon fiber ala EVO III, sementara telinga sisinya dicapangkan dengan cermin Ganador Aero. Nampak acaner Adib potong bumper ngan lip tu untuk letak paip intercooler? Cantik… Itu gunanya pendidikan seni!
Berkait dengan penampilan adalah kasut sukan yang digunakan. Ia datang dengan set yang berbeza iaitu Volk Racing TE37 dengan tayar Toyo Proxes T1R 205/50ZR-16 di bahagian depan serta SSR Type C bersama tayar Bridgestone Ecopia 195/50R-15 untuk belakang. Napa gitu? Sebab yang belakang tu untuk golek sampai molek aje. Sistem brek disalin sepenuhnya dari EVO III. Sementara sektor pengendalian kini lebih keras dengan set suspensi boleh laras Cusco Zero2.
Walaupun bertugas sebagai atlet sukan pecut, ia tidak menghilangkan fungsinya sebagai jentera jalanan biasa. Asal tak berdarah telinga, nak bawak pegi Mydin pun boleh. Kerana itu, hampir kesemua komponen penting masih kekal di posisi asal seperti dashboard, panel pintu, pilar dan tempat duduk belakang. Sepasang kerusi bucket dari Bride, ditempatkan pada ruang hadapan. Diikuti tambahan stereng separuh lusuh Momo Race, unit RSM Apexi, Speed Meter Pivot, serta dereten meter Defi 6-beradik di bahagian tengah.
Di peringkat awal, kereta ini dibekalkan dengan enjin 4G91 pacuan auto. Disebabkan ia bukan model tempatan, memasukkan enjin lagenda seperti 4G63 EVO III bukan satu masalah. Sebelum dimasukkan, ia telah melalui proses tingkat taraf yang sepadan seperti penempatan crankshaft 94mm, piston Wiseco 86mm, conrod BC, serta set galas enjin dari King Bearing. Bahagian kepala silinder mengandungi camshaft HKS 272° dan sepasang cam pulley boleh laras AEM, sebelum diikat pada blok menggunakan set stud dari ARP.
Penerimaan udara dibawa terus ke mulut turbo Garrett GT35, yang tergantung pada manifold turbo Tonnka, lengkap bersama wastegate dari Tial. Boost yang terhasil kemudiannya disejukkan oleh intercooler AVS lengkap dengan paip sambungan kustom. Sebaik memasuki throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Tial, mengikut kadar yang ditetapkan oleh unit pengawal boost GReddy Profec B Spec II.
Bekalan petrol diterima dari pam bahan api Walbro 450. Pancitan ke kebuk pembakaran dilakukan oleh set injektor Bosch 1350cc, sambil dikawal unit regulator Sard. Bagi merencana kembali perjalanan enjin ini, keseluruhan sistem kini ditala menggunakan unit ECU Haltech Sport 1000.
Selalu ke menang? Adalah sikit-sikit. Nama pun standard body. Bagi Adib, dapat melampias amukan kelajuan dalam diri pun sudah memadai…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Adib Fawwaz Khasin
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Mirage Colt CA3A
- Tahun – 1996
- Engin Asal – 4G91
- Modifikasi Enjin – 4G63 EVO III, crankshaft 94mm, piston Wiseco 86mm, conrod BC, galas enjin King Bearing, camshaft HKS 272°, cam pulley boleh laras AEM, stud ARP, turbo Garrett GT35, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial, intercooler AVS, paip sambungan kustom, throttle body Super90, injap pelepas Tial, pengawal boost GReddy Profec B Spec II, pam Walbro 450, injektor Bosch 1350cc, regulator Sard, kabel pencucuh NGK R09, tangki perangkap minyak kustom, ECU Haltech Sport 1000
- Transmisi – Kotak gear manual, ratio gear GSR & EVO I, klac plet berkembar Exedy Racing
- Ekzos – Paip kustom, muffler Kakimoto Regu 06&R
- Luaran – Kit badan Mirage Cyborg R, hood karbon fiber ala EVO III, cermin sisi Ganador Aero
- Suspensi – Cusco Zero2
- Brek – EVO III
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 & Toyo Proxes T1R 205/50ZR-16 (depan), SSR Type C & Bridgestone Ecopia 195/50R-15 (belakang)
- Dalaman – Bucket Bride, stereng Momo Race, RSM Apexi, Speed Meter Pivot, meter Defi
- Bengkel – Adib Comat Motorsport Terengganu