Atas faktor rupa, kereta ini semakin kurang diberi perhatian walaupun pernah limpas di depan mata. Dulu-dulu agak teruja jugaklah. Tapi sejak pemilik model tempatan berani menyalin montotnya yang lebih kontot, keistimewaan kereta ini mula beransur suram. Macam takde apa dah. Takkan nak tepek geran ori kat cermin depan. Kecuali di kalangan mereka yang tahu menghargai dan mengenali.
Dipendekkan cerita, ini bukanlah Wira kombet atau Lancer CB yang diubahsuai. Nak kata Evo I CD9A pun bukan. Tapi sebuah Lancer Evolution III dengan kod casis CE9A, yang telah selamat menukar kerakyatannya lebih 20 tahun lalu. Ya, orizainal punya. Ingatkan dah tayang semua, rupanya ada lagi saki-baki yang tertinggal.
Kerana kurang maklumat, sukar untuk dipastikan berapa banyak yang pernah sesat di sini. Belum lagi kira yang seludup piang. Untuk kereta ini, ia mula dikesan di Bumi Kenyalang, lokasi yang banyak menyimpan khazanah kereta pelik lagi rare. Itupun kalau tahu mana nak cariklah. Lepas beberapa kali bertukar tangan, barulah ia mampu digenggam Zul, sebagai memenuhi impian masa mudanya. Muda ker?
Hakikatnya, masalah terbesar yang dihadapi Zul dan pemilik Evo generasi ini adalah, rupa luaran yang menjadi mangsa klon model tempatan. Lagi tak pakai kit badan Kansai atau Full Blast, lagi tulah kena bahan. Buat masa ini, rasanya takde apa yang boleh diulas. Semuanya standard kilang, termasuk unit sunroof dan cermin wiper belakang. Satu-satunya komponen asing yang boleh dikesan adalah, lampu belakang kristal yang makin mencanak nilainya di pasaran.
Karektor pengendalian telah dinaik taraf menggunakan set suspensi boleh laras dari D2. Sementara kuasa hentian yang sudah sedia baik terus dikekalkan. Untuk mengisi ruang roda, rim Volk Racing TE37 berukuran 17-inci telah dipilih dan dipadankan bersama tayar Bridgestone Potenza RE003 bersaiz 245/45ZR-17.
Menurut Zul, bahagian dalam enjin 4G63T yang datang standard untuk kereta ini masih belum diusik. Cerita dulu-dulu tak tahulah. Tumpuan hanya diberikan kepada sistem pendesak yang kini menerima beberapa jajan tambahan. Antaranya penggunaan manifold turbo kustom untuk menempatkan unit turbo TD05H dan wastegate Tial 38mm. Sementara proses sejukan masih menggunakan unit intercooler standard yang dihubungkan dengan paip aloi kustom, sebelum lebihan boost dilepas keluar menerusi injap pelepas Sheep Dog.
Bekalan bahan api dibawa pam petrol Walbro, sambil dibantu unit regulator Works Engineering untuk mengawal jumlah tekanan. Kuasa cucuhan pula diperkuatkan dengan kabel pencucuh Arospeed, sebelum diselia oleh unit ECU standard Evo IX. Bagi melunaskan kuasa pembakaran, keseluruhan sistem ekzos kini menggunakan set lengkap rekaan FGK. Sementara hantaran kuasanya telah diperkemas semula, menerusi pemasangan set klac dari Triniti.
Hiasan dalaman sememangnya standard dan sering dijadikan pedoman buat pemilik model tempatan. Takde RalliArt bagai, walaupun ia layak untuk tujuan itu. Zul hanya mengenakan beberapa komponen tambahan seperti stereng Momo Race, pemasa enjin GReddy, meter boost Defi serta unit Defi ZD untuk tujuan pemantauan.
Menurut sumber risikan, Zul sedang merancang untuk menyerahkan legasi kereta ini kepada mereka yang lebih kental. Bukan tak sayang. Cuma bila tiba masanya, ia mungkin perlu dilepaskan untuk sesuatu yang lebih baik. Cukuplah dapat rasa walau sekejap…