Pusingan ke-2 Vios Challenge 2025 menandakan satu detik penting dalam sejarah perlumbaan tempatan apabila buat pertama kalinya kejohanan ini dianjurkan bersama siri AUTOBACS SUPER GT Malaysia. Perlumbaan ini menyaksikan gabungan ketiga-tiga kelas iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie, dengan penyertaan 36 pelumba termasuk dari Thailand, Singapura dan India.
Tidak seperti format 10-lap biasa, pusingan ini memperkenalkan format endurance selama satu jam di litar penuh Petronas SIC sepanjang 5.543 km – menjadikannya lebih mencabar dari segi mental dan fizikal. Acara ini juga turut menyaksikan kehadiran lebih 28,000 penonton pada hari pertama, menjadikan minggu perlumbaan ini antara yang paling meriah selepas kembalinya SUPER GT ke Malaysia sejak 12 tahun lalu.
Race 1 | Pecutan Awal, Strategi Jadi Penentu
Dalam perlumbaan hari pertama, Super Sporting Class menyaksikan persaingan sengit sejak awal apabila Eddie Lew dari Laser Motor Racing mendahului selepas lampu hijau, mengatasi rakan sepasukan Ady Rahimy yang tergelincir ke kedudukan kelapan.
Sporting Class pula didominasi sepenuhnya oleh Jwan Hii dari Hong Huat x Armada KK Racing yang memimpin dari mula hingga ke garisan penamat. Beliau menewaskan Datuk Dr Ken Foo dari Kulim Top Wheels dengan jurang 8 saat, manakala tempat ketiga dimiliki pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun dari RUK Team Nexzter PMC 52.
Dalam Rookie Class, Aydan Khaliq muncul juara selepas pertarungan sengit dengan Harkiesh Geeva yang malangnya mengalami kerosakan mekanikal beberapa minit sebelum tamat. Rahul Dev menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Harkiesh kekal di tempat ketiga.
Race 2 | Ketahanan Fizikal Jadi Kunci Kemenangan
Aksi hari kedua mengekalkan intensiti dengan suasana “door-to-door racing” sepanjang satu jam perlumbaan. Dalam Super Sporting Class, Mitchell Cheah dari Team Prima Pearl SP Selatan melonjak ke hadapan dari petak kedua seawal perlumbaan dan mengekalkan pendahuluan meskipun kereta keselamatan dikerahkan seawal pusingan kedua. Ady Rahimy sekali lagi muncul pencabar utama namun sekadar di tempat kedua selepas pertarungan rapat dengan beberapa pelumba termasuk Freddie Ang yang meraih podium ketiga untuk hari kedua berturut-turut.
Rookie Class pula memberi pentas kepada Justin Rahul Dev yang muncul juara, diikuti pelumba wanita Genevieve Ooi di tempat kedua – pencapaian terbaiknya sejak menyertai Program Pembangunan Bakat Muda TGR Malaysia. Tempat ketiga menjadi milik Aydan Khaliq. Genevieve berkongsi bahawa peningkatan kecergasan dan fokus mental sangat penting untuk mengekalkan prestasi dalam perlumbaan endurance. Beliau juga mengambil iktibar daripada insiden Race 1 yang menyebabkannya terkeluar dari kelompok hadapan akibat tayar pancit.