Suatu ketika dulu, model-model hatchback bukanlah sebuah kereta berpretasi yang menyeronokkan. Ia hanya disasarkan kepada golongan berkeluarga dan pertengahan, yang inginkan sebuah kereta murah dan mudah dipandu. Trend tersebut berlarutan untuk tempoh masa yang agak lama, sehinggalah sekumpulan pekerja di Volkswagen tampil dengan idea lebih padu.

Sewaktu Volkswagen Golf diperkenalkan pada tahun 1974, Anton Konrad dan beberapa orang yang lain, telah melancarkan projek ‘Sport Golf’ secara senyap. Idea asalnya cukup mudah, mahu menghasilkan sebuah Golf dengan enjin lebih berkuasa, khusus untuk menarik minat golongan muda. Walaupun dilengkapi pakej yang sporty, ia masih lagi praktikal dan sesuai untuk digunakan sebagai jentera harian.

Golf GTI bukanlah model pertama yang memperkenalkan konsep hatchback berprestasi seperti ini, tapi sebagai pelopor yang bertanggungjawab mempopularkannya, sekaligus mengubah gaya industri. Dari 5,000 unit yang disasarkan, Golf GTI Mk1 akhirnya berjaya dijual sehingga 420 ribu unit, sebelum digantikan dengan Mk2 pada tahun 1983.

Menjelang era 80-an, pengeluar Eropah lain mula berlumba-lumba menghasilkan sesuatu yang sama, selepas menyedari potensi segmen ini. Ketika itulah terma Hot Hatch, Super Mini, Sport Compact, GT Compact, Pocket Rocket dan lain-lain, menjadi sesuatu yang mula diterima ramai. Di penghujung era 80-an, barisan pengeluar Jepun pula mencuri tumpuan dengan model-model hot hatch yang jauh lebih murah dan lasak.

Sejujurnya, pasaran tempatan tidak begitu terdedah dengan model hot hatch yang sebenar. Ketika genre rock kapak dan rock leleh berada di kemuncaknya, kebanyakan pengeluar hanya memperkenalkan model hatchback berpintu empat yang lebih berorentasikan keluarga. Masing-masing perlu berpuas hati mengerjakan platform yang ada. Tidak hairanlah mengapa model terhad berpintu dua seperti ini, mudah menarik perhatian setiap kali ia muncul di depan mata.

Bagi mengangkat dan menghargai populariti segmen ini, MKK mengambil langkah mengumpul dan membukukan model-model hot hatch JDM berpintu dua dari era 90-an, untuk dipaparkan pada isu kali ini. Berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, barisan kereta terpilih ini juga memiliki kelebihan tersendiri, serta telah menjalani proses restorasi dan modifikasi yang agak menarik untuk diperhatikan.