Sebenarnya kalau korang tengok industri kereta Jepun hari ini, diorang ni boleh dikatakan lauk juga la. Dari segi teknologi enjin dan transmisi, kereta-kereta Jepun memang kalah terus dengan kereta Eropah. Mat salleh dengan enjin yang semakin kecil, power dan jimat bahan bakar sedangkan jurutera Jepun masih mabuk dengan enjin-enjin berteknologi kuno mereka.
Tapi nanti dulu. Dek kerana Vios 4 speed dan Camry 2.5 liter NA itulah, Jepun kekal sebagai pembuat kereta yang reliable. Memang jurutera Jepun takut untuk inventasi teknologi yang kompleks sebab mereka percaya itu merisikokan reliabiliti produk mereka. Konsep enjin ringkas (dan lemau) masih digunapakai dengan meluas untuk kereta-kereta jenama Jepun.
Sekarang kita balik ke tahun 80-an dan 90-an. Ketika Eropah dan Amerika sibuk dengan enjin 3-4 liter, Jepun memulakan siri enjin kecil 4 selinder 2 liter turbo seperti SR20DET. Ya, enjin 200hp pada tahun 1990 memang mengkagumkan dalam industri apatah lagi dihasilkan oleh sebuah negara yang jahanam 80 peratus masa perang dunia. Ketika ini, kita boleh nampak betapa bijaknya jurutera Jepun memanipulasi teknologi.
Kereta Nissan 180SX milik Sharul ni merupakan sebahagian kegemilangan yang dikecapi dalam sejarah automotif Jepun. Kau tengok je lah sekarang ada ke kereta macam ni yang Jepun buat? Tak ada. Paling dekat mungkin GT86. Masa 90-an, 180SX dan keluarga S-Chassis lain sangatlah playboy. Tapi nak beli masa tu harganya arwah juga la.
Ini kereta ketiga Sharul dalam tempoh beberapa tahun ni. Sebelum ni beliau ada sebuah S14, dijual sebab dapat tawaran harga bagus. Kemudian beli R34, tapi jual sebab berat sangat katanya. Tak lama lepas tu dapat pulak sebuah 180SX separa rentung. Maksud wa kereta yang hampir rabak dan kena dibuat semula dari awal. Korang mungkin banyak jumpa kereta seperti ini di litar drift, tapi Sharul ambil keputusan untuk restore sebaik mungkin. Ia akan jadi sebuah 180SX yang sempurna, sebagaimana kelahirannya di tahun 1993.
Kereta ini dileraikan sepenuhnya sampai ke tulang selangka. Kalau dah nama nak restore, perkara terbaik yang perlu dibuat, togel dan kikis cat sampai dasar biar nampak mana weak spot, lantai bocor atau besi-besi yang mula menipis. Pendek kata, buat kimpalan tegar yang baru. Kalau nak masuk enjin, buat weldspot baru atau tambahan pada cagak enjin. Barulah sempurna macam keluar kilang semula. Silap-silap boleh bertahan 20 tahun lagi kalau terus dijaga dengan baik.
Enjin kereta ini telah digantikan dengan SR20DET yang berhead bongkok dari Silvia S14. Ia kemudian menerima pengubahsuaian sesedap rasa iaitu proses port & polish kepala silinder serta dilapik gasket keluli 1.5mm.
Bahagian dalaman kebuk semuanya standard saja, tapi turbo tu memang menakutkan jugalah. Turbin AR50 ini ditongkat di atas manifold HKS dan dipasangkan bersama wastegate Tial. Lain-lain peralatan tambahan yang dipasang ialah intercooler Trust, paip intercooler custom, injap pelepas GReddy, pengawal boost manual, pam petrol Walbro, injektor Sard 550cc, regulator Sard dan akhir sekali komputer GReddy e-Manage.
Kuasa enjin disalurkan kepada kotak gear manual 5 kelajuan dari half-cut S14 juga, sama datangnya dalam kontena enjin tadi. Gandar belakang dipasangkan dengan unit LSD 2-way, manakala pelapik klac diganti dengan OS Giken Super Single.
Apa akan jadi kalau enjin power tapi suspensi cap daun kari? Kelaut tuan-tuan, jangan buat pasal. Kereta Sharul ni dipasangkan dengan set suspensi boleh laras ACE yang digandingkan dengan brek-brek Skyline GTR R32. Untuk rodanya pula, beliau pasangkan rim Rota Grid 18 inci yang disaluti dengan tayar Achilles ATR Sport 245/40ZR-18 di segenap sudut.
Bahagian dalaman kereta ada (ni wa copy paste je dari spec, malas tulis. Kau baca ke tak ni?) stereng D1 Spec, tempat duduk Bride & Recaro, harness Sabelt, roll cage 180SX, trim dashboard karbon fiber, meter utama Nismo, meter-meter Defi dan meter boost Apexi.
Bahagian luaran pula menggunakan kit badan 180SX Type X, lampu belakang 180SX Kouki (facelift) dan cermin sisi Ganador Silvia S13. Okey itulah ceritanya. Masalahnya sekarang, kenapa kereta yang dah masuk status klasik macam ni masih nampak segar dan sporty?
Nissan hari ini langsung tak ada kereta yang bagus. Honda masih ada Civic dan Jazz yang sporty. Toyota ada kereta sport Vios, eh silap 86. Tapi Nissan? Almera? Ya ampun, tolonglah suruh Keiichi Tsuchiya buat rampasan kuasa kat kilang Nissan sana nuh. Atau tolonglah sapa-sapa jahanamkan production line Almera tuh…
SPESIFIKASI
- Nama – Sharul
- Pengeluar – Nissan
- Model – 180SX
- Tahun – 1993
- Enjin Asal – SR20DET Red Top
- Modifikasi Enjin – SR20DET Silvia S14, gasket keluli 1.5mm, port & polish kepala silinder, penapis udara Apexi, turbo Garrett AR50, manifold turbo HKS, wastgate Tial, intercooler Trust, paip intercooler kustom, injap pelepas GReddy, pengawal boost manual, pam petrol Walbro, injektor Sard 550cc, regulator Sard, GReddy e-Manage
- Transmisi – Kotak gear manual 5-kelajuan Silvia S14, klac OS Giken Super Single, axle belakang LSD 2-way
- Ekzos – Paip 3-inci, muffler Apexi
- Luaran – Kit badan 180SX Type X, lampu belakang 180SX Kouki, cermin sisi Ganador Silvia S13
- Suspensi – ACE Suspension
- Brek – Skyline R32
- Rim & Tayar – Rota Grid 18-inci & Achilles ATR Sport 245/40ZR-18
- Dalaman – Stereng D1 Spec, tempat duduk Bride & Recaro, harness Sabelt, roll cage 180SX, trim dashboard karbon fiber, meter utama Nismo, meter Defi, meter boost Apexi
- Bengkel – QASB Motorsport, Gent X Autowork, Sara Pelangi Sri Muda