Jika diberi soalan Proton apakah yang paling popular, majoriti jawapan yang diterima sudah tentu terarah kepada model Wira. Dengan harga semasa yang sangat masuk akal, tidak hairanlah jika ianya masih diminati dan diterima ramai. Tak perlu ikat perut sampai senak 7 tahun. Apa yang ditawarkan, sebenarnya sudah memadai untuk bertugas sebagai sedan keluarga yang praktikal.
Faktor harga ini juga, mendorong pemilik Wira menghasilkan sesuatu yang menarik. Salinan Lancer EVO misalnya dah macam semut punya banyak, hingga sukar dibezakan statusnya yang sebenar. Di satu sisi lain, ada pula golongan yang cuba mengekalkan rupa MDM asal, sebelum dikacuk bersama komponen tertentu. Dulu mungkin tak nampak mana. Tapi lama kelamaan fenomena ini semakin meriah, dan mampu membentuk rangkaian komuniti yang tersendiri.
Wira milik Rohadi ini antara yang mengenakan tema MDM kacuk dengan jayanya. Caranya mudah saja. Hanya kekalkan rupa yang asal, sebelum diadun bersama rangkaian komponen lain. Ada gril depan UK Spec, lip depan Mirage, skirt sisi Lancer GSR, cermin cromax, cermin sisi Ganador, hood EVO III yang diubahsuai, serta unit sunroof juga dari EVO III. Banyak jugak, cuma kurang menonjol akibat kalernya yang suram. Cer bagi kaler pucuk pisang, mesti dari jauh dah boleh perasan.
Kedudukan kereta kemudian direndahkan sedikit, hasil penggunaan set suspensi boleh laras Tein HA untuk depan dan belakang. Termasuk dalam pakej ini adalah kasut sukan ultra femes jenis Volk Racing TE37 yang dibalut getah Toyo Proxes T1R berukuran 215/45R-17 setiap satu. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sektor hentian dibantu komponen brek dari EVO III.
Dilahirkan dengan enjin 4G15P, pilihan naik taraf paling bijak tentulah siri 4G93T dari Lancer GSR. Nak kata murah tak jugak, cuma jumlah prestasinya mudah dipertingkatkan sekiranya perlu. Memandangkan Rohadi belum ke arah itu, salinan enjin ini hanya diberi sepasang cam pulley boleh laras Arospeed, penapis udara Blitz, kabel pencucuh Ultra, pam petrol Walbro serta unit regulator Sard. Bagi membenarkan kuasa dari turbo TD04L asal berfungsi lebih cemerlang, bahagian sistem pendesak menerima sebuah wastegate Turbosmart 40mm, injap pelepas Blitz, termasuk binaan paip intercooler baru untuk proses sejukan.
Menjengah ke bahagian dalam, hiasannya agak tipikal untuk projek ubahsuai seperti ini. Ia menyaksikan kehadiran papan pemuka EVO III sebagai menu utama, diikuti tambahan panel pintu, stereng dan tempat duduk dari model yang sama. Selain itu, ada jugak tombol gear GSR, burger dashboard, deretan meter Defi, serta meter boost Apexi untuk tujuan pemantauan.
Apa yang dilakukan Rohadi sebenarnya cukup sederhana dan bersahaja. Contoh bagaimana konsep MDM kacuk, boleh kelihatan menarik tanpa perlu mengendurkan poket. Taklah rasa rugi sangat. Janji dapat memenuhi kehendak dan impian sebelum ini…
SPESIFIKASI
-
- Pemilik – Rohadi Safie
- Pengeluar – Proton
- Model – Wira
- Tahun – 1993
- Enjin asal – 4G15P
- Modifikasi Enjin – 4G93T Lancer GSR, cam pulley boleh laras Arospeed, penapis udara Blitz, kabel pencucuh Ultra, pam petrol Walbro, regulator Sard, wastegate Turbosmart 40mm, injap pelepas Blitz, paip intercooler kustom
- Transmisi – Kotak gear EVO III, klac Exedy Racing
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffler Apexi
- Luaran – Gril depan UK Spec, lip depan Mirage, skirt sisi Lancer GSR, cermin cromax, cermin sisi Ganador, hood EVO III, sunroof EVO III
- Suspensi – Tein HA
- Brek – EVO III
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 17-inci & Toyo Proxes T1R 215/45R-17
- Dalaman – Papan pemuka, panel pintu, stereng & tempat duduk EVO III, tombol gear GSR, burger dashboard, meter Defi, meter boost Apexi, pemasa enjin Razo
- Bengkel – Rady Workshop