Volkswagen Dan PichaEats Menyerahkan Sebanyak 280 Hidangan Makanan

Hujung minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan PichaEats telah berganding bahu menyerahkan sumbangan sebanyak 280 hidangan makanan kepada golongan kurang bernasib baik dalam usaha menyebarkan kebaikan sempena musim perayaan ini.

Konvoi Driving Kindness ini dibantu oleh para pekerja Volkswagen dan Picha yang memandu Tiguan Allspace Highline dan Passat Elegance dan juga empat buah Volkswagen klasik iaitu 2 buah Beetle dan dua lagi van Kombi yang dipandu oleh pemiliknya yang sukarela menjayakan projek ini.

Para penerima dalam kempen Driving Kindness ini adalah dari Hiichiikok Foundation, Trinity Community Children’s Home, Lighthouse Children’s Welfare Home, Sunteck Handicap Welfare Home dan Charis Sheep Pen
Shelter yang semuanya berlokasi di Lembah Klang.

Selain itu, sebagai memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan, sebanyak 100 hidangan makanan telah diserahkan kepada doktor dan juga jururawat yang bertugas di stesen ujian covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. Semangat memberi ini diteruskan lagi dengan kehadiran lima buah keluarga dan beberapa individu bersama PichaEats Christmas Family set. Mereka dipilih menerusi pertandingan yang diadakan di Facebook bermula dari 25 sehingga 30 November yang lalu. Pertandingan ini meminta netizen untuk mencalonkan para penerima yang terjejas dan mengalami saat-saat getir serta layak menerima hidangan istimewa ini.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter turut hadir memeriahkan lagi konvoi ini meluahkan rasa kesyukuran di atas kejayaan projek ini. “Krismas adalah musim memberi dan ianya merupakan satu kelebihan untuk memberi semula kepada komuniti yang kurang bernasib baik. Tahun ini benar-benar mencabar untuk setiap orang dan ia sangat penting untuk terus bersama-sama, sentiasa berbuat baik dan memberi bila-bila perlu.”

“Volkswagen group sentiasa komited dalam memberi bantuan menerusi pelbagai platform semenjak 2015 dan kami sangat berbesar hati dapat berkerjasama dengan PichaEats, yang telah melakukan kerja yang menakjubkan untuk orang-orang pelarian di Malaysia.”

Tambah penaung dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PichaEats, Kim Lim, projek ini adalah refleksi jelas kepada misi Picha iaitu untuk menyebarkan kebaikan. Di PichaEats, kami melakukan sesuatu yang dapat memberikan impak. Pada musim perayaan Krismas ini, kami ingin meluaskan lagi misi ini dan memberi kegembiraan kepada komuniti. Bekerjasama dengan Volkswagen Malaysia memang menyeronokkan dan bersama-sama dapat mengembalikan senyuman kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Bagi makluman, PichaEats merupakan syarikat social Malaysia yang berdedikasi untuk memperkasa komuniti pelarian di Malaysia menerusi perniagaan makanan dan telah menghidangkan lebih 25,000 hidangan makanan yang dimasak oleh komuniti pelarian di Malaysia.