V GARAGE UTE

Ketika diperkenalkan pada tahun 2002, model Arena gagal mendapat tempat seperti yang diharapkan. Mungkin sebab trend milikan kenderaan utiliti ringan ketika itu yang agak lemah. Jangan kata pemilik individu, golongan peniaga kecil pun tak minat mana. Kebanyakan mereka lebih gemar memilih van pikap lama, yang tentunya lebih murah dan berbaloi. Kalau belasah sampai ranap sekali pun taklah pedih sangat rasanya.

Keghairahan terhadap model Ute ini mula timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Macam ada lompong yang perlu diisi. Van pikap lama dah makin uzur, mentenen trak pikap pulak agak mahal. Akibat pilihan yang semakin terhad, populariti Arena mula melonjak naik, menyebabkan harganya kini jauh lebih mahal berbanding model sedan dari platform yang sama.

Selain berguna untuk tugasan harian, Arena juga agak sesuai untuk dijadikan bahan mainan. Itu pun selepas ditunjukkan oleh kengkawan kita di Ostolia. Boleh jadi lawa rupanya. Kemajuan mereka dalam hal ini telah menghantui peminat modifikasi tempatan, yang akhirnya memilih model ini sebagai platform ubahsuai yang menarik.

Arena ini sudah lama dibeli Duan, untuk mengangkut barang di kedai hafkatnya. Benda wat gasak kerja, takde niat pun nak bikin sampai lawa cenggini. Tapi bila tengok permintaan semasa yang makin mencanak, elok juga jika ia dibelai semula untuk menjamin nilainya pada usia akan datang.

Dari sebuah model standard, penampilan kereta ini telah disegarkan semula menerusi pemasangan kit badan lengkap EVO II di bahagian depan. Juga digunakan, skirt sisi dan lip belakang EVO III, cermin sisi Ganador, serta unit sunroof manual dari Nissan Silvia S13. Pemilihan kaler Mica Blue itu juga berjaya mengubah rupanya, jauh lebih menyerlah berbanding sebelum ini.

Kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras Mines di bahagian depan. Disebabkan bahagian belakangnya dilengkapi casis jenis ladder dan spring dedaun, ia perlu diubah semula secara kustom, sebelum dipadankan dengan set absorber Nissan Vanette. Sistem hentian pulak datang dari kit brek EVO III untuk depan, serta brek cakera Libero di ruang belakang. Termasuk dalam pakej ini adalah rim sukan Enkei RPF1, yang dibalut pada getah Nankang NS-2R berukuran 215/45R-17.

Arena dibekalkan dengan enjin 1.5-liter, yang hanya memadai untuk tugas-tugas ringan. Melihat kepada potensi yang ada, enjin tersebut telah digantikan dengan siri 4G93T untuk meledakkan lagi kuasanya. Beberapa peningkatan turut dilakukan ke atas enjin ini seperti penempatan piston CP 82mm, conrod Supertech dan bearing enjin ACL Race. Bahagian kepala silinder pulak disumbat sepasang camshaft NA dari Satria GTi, bersama cam pulley boleh laras dari HKS.

Unit turbo TD04L asal telah digantikan dengan turbo TD05H 20G, yang disangkut pada manifold turbo Tonnka. Ia turut menempatkan sebuah wastegate Tial 38mm bagi meredakan tekanan pada perumah turbin. Boost yang termampat seterusnya disejukkan oleh intercooler ARC dan paip sambungan kustom, sebelum dibawa ke mulut throttle body EVO III. Sementara tekanan yang berlebihan akan dipaksa keluar menerusi injap pelepas Blitz.

Keperluan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, sebelum disuntik ke kebuk pembakaran menerusi set injektor 510cc EVO III. Memastikan kadar tekanan dan balikan yang tepat, ia kini dilaras menggunakan unit regulator dari Tomei. Untuk kuasa cucuhan yang optimum, keseluruhan sistem pendawaian dan ECU telah ditukar menggunakan komponen dari EVO III, termasuk padanan chip ECU kustom talaan Mat Speed.

Bahagian dalamnya nampak lebih sukan, hasil penggunaan papan pemuka Lancer CK. Sebagai penambah seri, ia turut dihiasi beberapa komponen lain seperti sepasang tempat duduk Recaro Integra DC2R, stereng Sparco Competition, tombol gear RalliArt, serta salinan panel pintu EVO III. Aspek pemantauan datang dari tiga meter GReddy di bahagian tengah, selain unit Apexi AFC Neo untuk tujuan talaan.

Soalan lazim yang biasa ditanya, tak mau jual ke? Kata Duan, belum sampai seru lagi. Maklumlah benda tengah femes, baik simpan dulu. Mana tau boleh jual setengah juta lepas nih…