Usia Berdekad Tanpa Sebarang Cela

Salah satu watak agen perisik paling ikonik dan tidak melampau kalau dikatakan dikenali oleh setiap generasi, tentunya 007 yang juga sinonim dengan watak James Bond. Agen perisik British yang cukup cekap dan dilengkapi pelbagai gajet hebat termasuk kereta yang dipandunya. Sehingga hari ini, sudah ramai pelakon yang berpeluang memakai watak James Bond ini, namun hanya satu nama yang benar-benar melekat di hati ramai pengikut siri ini iaitu Sean Connery.

Lakonannya yang bersahaja, membuatkan ramai terpukau khususnya peminat wanita. Tahun lepas, Sean Connery telah menghebuskan nafas terakhirnya di usia 90 tahun dan kini, salah satu kereta yang pernah dimilikinya akan dilelong. Kereta yang dimaksudkan adalah sebuah BMW 635 CSi keluaran tahun 1986. Selepas beberapa dekad, kereta ini telah disimpan di United Kingdom dari 1998 sehingga 2007. Kemudian, disimpan pula di Luxembourg dari tahun 2008 sehingga 2019. Penampilan terakhirnya adalah pada tahun 2016 sempena sambutan 100 tahun BMW di Belgium.

Sebagaimana yang dapat dilihat, BMW ini telah dilayangkan dengan warna Alpine White yang masih dalam keadaan cukup baik. Begitu juga dengan bahagian lain kereta termasuk eksterior. Setiap panel masih bersih dan tidak menunjukkan sebarang kecacatan mahupun tanda-tanda karat. Lebih menaik lagi, aloi juga masih dalam keadaan baik.

Kualiti bahagian interior juga sama dengan eksterior. Jika ada tanda-tanda kereta ini sudah berusia, ia dapat dilihat pada tempat duduk hadapan dan juga kerusi penumpang di bahagian belakang. Selain dari bahagian kawalan, bahagian elektrik termasuk penghawa dingin masih berfungsi dengan cukup baik.

Menurut pemegang kereta ini, semasa memiliki kereta ini, Sean Connery sedang sibuk dengan penggambaran beberapa filem. Disebabkan itu, semua keadaan kereta masih dalam keadaan yang cukup baik. Malah, hanya sejauh 61,841km yang dicatatkan pada odometer. Memandangkan keadaan kereta yang masih lagi elok selain dari faktor usianya, pasti ada di kalangan peminat yang mahu memiliki kereta BMW 635CSi yang pernah dimiliki seorang watak ikonik!

Sumber : Carscoops