Umur Bukan Penghalang Untuk Minat Jentera Lama!

Meminati AE80 sejak berumur 18 tahun, tidak menghalang niat anak muda ini untuk memilikinya pada suatu hari nanti. Niat timbul apabila sentiasa melihat jentera milik saudaranya dan pada masa yang sama keluarganya juga pernah memiliki jentera lama ini. Semangatnya menjadi lebih kuat apabila bapa saudaranya mengajak beliau menghadiri acara Kelab Kelketu yang diadakan di Litar Dato Sagor sekitar tahun 2013.

Beliau mula menanam niat untuk memiliki jentera ini ditambah pula setelah melihat pelbagai jentera AE80 semasa acara tersebut. Dengan usaha dan juga niatnya yang terpendam lama, pada awal tahun 2014 Syazwan akhirnya berjaya memiliki jentera idamannya yang dibeli dengan harga RM1000 sahaja!

Beliau mula menyertai kelab Kelketu dan teracun dengan pelbagai idea dan konsep yang ada di sekelilingnya melalui ahli-ahli yang ada di dalam kelab tersebut. Sedikit demi sedikit ianya diubah suai dan akhirnya seperti yang kita dapat lihat sekarang. Jentera tahun 1984 ini diubah keseluruhannya oleh Syazwan bagi mendapatkan prestasi yang lebih baik serta keselesaan untuk dipandu ke mana sahaja.

Selamat tinggal kepada enjin 1300cc yang asal dan selamat datang kepada nadi 4AGE T-VIS Twincam. Sedikit ubahsuai telah dilakukan pada enjin ini antaranya kepala silinder ‘big pot’, pam bahan api 1Jz dan juga muffler ekzos dari Apex. Yang lain semuanya masih dalam keadaan asal dan diperkemaskan semula. Untuk penyampaian kuasa ke roda, kotak gear asal V-Ti masih lagi mampu bekerja dengan sempurna.

Untuk sebuah jentera yang telah menjangkau umur 36 tahun, sistem suspensi sebelum ini telah digantikan dengan yang baharu tanpa dinaik taraf dengan penggunaan barangan ‘aftermarket’ seperti dilakukan oleh kebanyakan pemilik kereta yang lain. Sistem breknya dikekalkan yang asal kerana masih mampu bertindak cemerlang. Tidak banyak penukaran dilakukan di bahagian dalam. Meter asal digantikan dengan panel meter AE82 berwarna oren manakala tempat duduknya pula diambil dari model AE92. Cukup selesa dan tidak memerlukan belanja besar untuk memuaskan nafsu.

Penampilan luar ditambah baik lagi dengan penggunaan kit badan depan FXGT dari model AE82. Bumper belakangnya pula diambil dari model asal 12V manakala lampu belakang pula krom keseluruhannya. Beberapa aksesori lain turut dipasangkan antaranya ‘door visor’ “selit”, lining tepi pintu GT Twincam, skirt sisi rekaan fiber AE92, spoiler fiber AE80 serta emblem SE Saloon semestinya yang asli.

Akhir sekali, jentera ini dipasangkan dengan rim RPF1 berukuran 15 inci dibaluti tayar Bridgestone Ecopia EP200 keseluruhannya. Lepas ni dah boleh join trackday!

SPESIFIKASI