Toyota Supra Matte White Edition, Hanya 50 Unit Dikeluarkan

Toyota Supra ada menyediakan transmisi manual, itulah yang dinanti-nantikan ramai peminatnya. Apatah lagi pada tahun 2022, memiliki sebuah Supra manual pastinya istimewa. Sudah tentu, ramai tidak sabar untuk memandunya dan memberikan komen masing-masing. Namun, para peminat yang berniat untuk memilikinya perlu menerima hakikat bahawa tidak banyak unit dikeluarkan dan itupun untuk tempoh terhad!

Varian ini digelar Toyota sebagai Toyota Supra Matte White Edition yang mempunyai semua ‘bahan; untuk menjadikan ia sebuah edisi istimewa. Hanya 50 unit dikeluarkan, peminat yang bakal memilikinya harus benar-benar bertuah untuk mendapat seunit dan setiap satunya didatangkan bersama plak istimewa. Apa yang lebih mengejutkan, ia hanya untuk sebuah negara seperti dilaporkan Carbuzz.

Ia diperkemaskan dengan cat Matte Avalanche White Metallic. Manakala di bahagian dalam, dihidangkan dengan kulit warna kuning sawo matang. Lencana edisi khas ditempatkan atas dashboard bahagian sisi penumpang di mana turut dihiasi gambar Supra di atas matte carbon fiber.

Menurut laporan Carbuzz lagi, Supra ini dijual pada harga bermula dari $52,891 USD (RM235,520.86). Tempahan dibuka untuk pembeli di Jepun pada 21 Ogos dan perlu menunggu seperti loteri. Pembeli akan dipilih secara rawak dan dijemput untuk membeli kereta ini. Buat masa ini, ia hanya dikeluarkan di Jepun dan mula dihantar pada bulan Oktober.

Sumber : Carbuzz