TOYOTA KE70 OREN

Kejayaan Toyota hari ini adalah kerana kebolehgunaan kereta mereka bertahan di mana-mana sahaja bentuk geografi di dunia. Tidak susah membuat kereta yang boleh hidup dan jalan. Namun, memastikan kereta boleh tahan sampai berpuluh tahun adalah isu yang berbeza.

Memang tidak dapat dinafikan, realibiliti meletakkan Toyota berada pada kelasnya yang tersendiri. Toyota tidak dirujuk sebagai kereta laju. Tetapi kereta yang tidak digemari oleh tow truck. Jarang-jarang boleh jumpa kereta Toyota tersadai tepi jalan.

Baiklah. Apa yang istimewanya pada KE70 atau DX ni? Kalau anda nak tahu, inilah ereta yang sangat berjaya pada tahun 1980. Produksi kereta ini meningkat hampir 3,000 unit sehari. Gila betul.

Di Indonesia, varian 1.3 liter sedan paling laku. Kebanyakan pasaran di dunia menerima enjin yang paling dihormati iaitu 4K. Maksud saya, dihormati bukan sebab laju macam roket, tetapi 60-70hp dengan sekali start. 4K juga enjin terakhir dari generasi push rod dan konfigurasi terakhir keluarga Corolla menggunakan pacuan roda belakang.

Ingat saya cakap pasal reliabiliti tadi? KE70 ini adalah buktinya. Kereta ni memang direstorasi pada tahap yang paling sempurna pernah saya tengok. Maka tidak hairanlah jika ada yang sanggup bayar tinggi untuk KE pada kondisi seperti ini.

Kereta ini dibeli oleh pemiliknya, Mie selepas seronok tengok orang buat drift. Tetapi Mie jenis lebih kepada drift konon-konon. Drift KE yang biasa anda tengok jenis badan nak reput dan kemek sana sini. Jarang orang drift dengan body KE yang cantik berkilat macam ni.

Kereta ini diperoleh dalam keadaan yang sempurna. Bodynya dibuat awal oleh Mie dengan kerja kimpalan menyeluruh dan lantai yang telah dibaiki. Itu memang masalah biasa kalau main kereta bukan zaman anti karat macam ni.

Kalau hantar ke kedai yang sengal, alamatnya kereta berjerawat tak lama lepas tu. Bayar cat bukan main mahal. Buat body punya la lama. Tetapi tak sempat gathering dah naik kurap sana sini.

Kereta ini disembur dengan warna oren lembut. Semua bushing ditukar dan absorber lama dipam dengan gas baru dan diganti semua oil sealnya. Pada peringkat ini dah rasa sedap dipandu tanpa bunyi tikus-tikus di bawah lantai.

Enjin 4K itu dikeluarkan semula dan menjalani proses overhauled. Blok dicat merah, head dikikis sampai berkilat. Enjin bay dicat dengan warna biru lembut. Berkilat betul!

Bahagian kokpit tidak ketinggalan, semua nozzle aircond yang patah diganti baru. Papan pemuka dan panel pintu digilap rapi. Tempat duduk dibalut dan lantai dipulihkan dengan unit baru.

Tengok konsol tengah dan kemasan kecil yang lain, semuanya nampak macam baru. Ingat senang nak buat macam ni? Kalau tak ada kesabaran baik tak usah. Kreatif lebih sangat pun tak boleh juga. Itu yang jadi balut tempat duduk serupa sofa rumah jadinya.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah kondisi badannya. Memang cun habis, rata dan tak ada lekuk-lekuk yang tak sepatutnya. Apabila dipadankan dengan rim SSR Long Champ XR4 dan tayar 195/55, secara automatik kereta ini nampak oldskul moden.

Rim memang memainkan peranan penting dalam mengubah karekter kereta. Anda tahu pasal Rota? Tapi ini bukan Rota. Ini rim asli SSR. Rota adalah jalan keluar untuk kebanyakan orang hari ni yang tak mampu nak beli rim oldskul yang maha merepek harganya.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ