Toyota GR 86 Baharu Ditangguhkan?

Gara-gara tidak mahu dikatakan sebagai salinan kepada Subaru BRZ, Toyota GR 86 baharu yang dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini ditunda sehingga selewat-lewatnya hujung tahun 2022. Menurut laporan Best Car Web sebuah portal dari Jepun mengatakan, Presiden Akio Toyoda mahu setiap pemandu tahu yang mereka sedang berada dalam GR 86 dan bukannya sebuah kereta BRZ!

Bagi memastikan kehendak dan juga arahan Toyoda tercapai, pasukan jurutera Toyota telah berusaha untuk mencari dan mengubah penalaan enjin GR 86 ini. Menurut laporan yang sama, Toyoda sanggup menunggu lebih lama sehingga mereka benar-benar bersedia melancarkan GR 86 baharu ini.

Demi mendapatkan kepastian dan kesahihan laporan tersebut, sebuah lagi portal iaitu Carscoops telah menghubungi jurucakap Toyota USA dan diberitahu bahawa TMC-Japan tidak membuat sebarang pengumuman rasmi tentang tarikh atau masa sebenar pelancaran GR 86 baharu tersebut.

Bercakap tentang Subaru BRZ 20222 yang telah didedahkan lewat tahun lepas, ia mempunyai persamaan dengan model asal tetapi dilengkapi dengan beberapa perubahan. Hal ini mengundang teka teki, adakah Toyota akan mengubah penalaan enjin pada GR 86 baharunya memandangkan Subaru telah pun melakukan perubahan yang cukup cemerlang. Lekuk torq BRZ juga tampil lebih mendatar untuk versi terbaharu yang mana membantu pemandu mencapai tahap kelajuan yang dipertingkatkan.

Penalaan enjin yang sama boleh menghasilkan lebih 30hp berbanding generasi pertama dengan kuasa keseluruhan 228 hp dan tork 184 lb-ft. Redline pula mencatatkan pada 7,000 rpm, dan lebih berat beberapa paun dari yang asal sekitar 2,900 lbs. Ia pastinya sangat menarik, bagaimana hasil akhir dua kereta yang berbeza berasaskan perkakasan yang sama? Dan ini bukan kali pertama Toyota menala kereta sport jenama lain.

Sumber : Carscoops