Tidak Banyak Informasi Dikongsi Honda, Selain Terpantas, Paling Berkuasa Pernah Dihasilkan!

Masih ingat lagi, kali pertama prototaip Honda Civic Type R yang masih berbalut tersebar di internet? Sejak enam bulan lalu, Honda telah memulakan kempen dengan menyiarkan teaser yang menampilkan kereta ini di auto show, mencatatkan rekod pusingan dan itupun masih lagi berbalut untuk mengekalkan penampilan sebenarnya. Kini, penantian telah pun berakhir dan hanya beberapa informasi penting masih belum didedahkan.

Namun begitu, pihak Honda berjanji untuk berkongsi informasi penting itu tidak lama lagi. Apa yang boleh dikongsikan sekarang adalah sebuah model Civic terbaharu Type R yang paling berkuasa dalam sejarah. Menurut Honda, ianya model terpantas, kenderaan paling berkuasa dari jenama Honda yang pernah ditawarkan di pasaran.

Honda masih lagi menggunakan 2.0 liter VTEC Turbo dengan transmisi manual 6-kelajuan. Tiada teknologi hybrid atau AWD dan dalam terma trenkuasa, ia benar-benar sebuah hatchback olskool. Honda belum bersedia untuk memberikan informasi terperinci untuk Civic Typer R ini. Apa yang boleh dilihat, ia mempunyai dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebar berbanding model sebelumnya. Bukan itu sahaja, ia juga menggunakan set tayar lebih lebar Michelin Pilot Sport 4S.

Secara visual pula, model ini dilengkapi spoiler belakang Type R yang bersaiz besar. Bampar hadapan pula tampil lebih agresif dengan liang pengambilan udara lebih besar, diikuti gril atas bawah dengan elemen sarang lebah. Ia juga dilengkapi fender lebih besar, berbeza dan tampil lebih lebar berbanding Civic hatchback standard. Fascia belakang bulat dengan diffuser lebih besar dan disempurnakan tiga tip ekzos, mengekalkan identiti Civic Type R.

Beralih ke bahagian dalam, kabinnya dihiasi gabungan warna merah dan hitam. Tempat duduk sport merah yang kelihatan lebih agresif, begitu juga pengalas kaki dan jahitan yang kontras. Selebihnya dihiasi dengan warna hitam termasuk dashboard Civic yang sama dengan model standard. Mode pemanduan khas +R ditambahkan untuk mencetuskan perasaan teruja kepada pemandu pada papan pemapar juga logger data yang memberikan informasi terkini dan bagaimana ia memberi respon kepada pemandu.

Jelas sekali, Honda masih ‘berhutang’ banyak informasi dengan para peminat tentang Type R terbaharu ini. Dijangkakan segala-galanya bakal didedahkan sepenuhnya ketika musim luruh ini, hampir dengan perancangan untuk ia dilancarkan.

Sumber : Motor1