Tiba Di Malaysia, Ditawarkan Dalam Tiga Varian

Lexus Malaysia baru-baru ini melancarkan varian terbaharu jentera mewahnya, LC 500 Convertible ke pasaran tempatan. Lexus ada menawarkan LC dalam tiga 3 varian iaitu LC 500, LC500h dan LC 500 Convertible. Sebelum ini, Lexus Malaysia ada membawa masuk LC 500 yang ditawarkan pada harga bermula RM1.2 juta.

Ini merupakan model convertible pertama Lexus yang dibina berasaskan kepada kereta konsep dan pernah dipamerkan pada LA Auto Show 2019. Kalau nak tahu, LC itu bermaksud Luxury Coupe. Sebagai sebuah convertible ciri utama jentera itu pastinya bumbung soft-top 4 lapisan. Dengan hanya menekan satu butang, bumbung itu boleh diturun dan dinaikkan dalam masa kurang 16 saat. Ketika operasi itu dibuat, kereta hendaklah dipandu di bawah kelajuan 50km/j.

Convertible itu jelas mengekalkan rekaan model konsep. Penampilannya diserlahkan dengan spindle grill yang besar bersama rekaan mesh di bahagian atas dan bentuk diamond di bawah. Tidak ada kemasan krom seperti model Lexus yang lain. Wajah garang itu disempurkankan lagi dengan lampu projector LED nipis, selain sepasang lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu kabus. Di bahagian belakang, rekaan lampu LED yang berbeza itu membuatkan anda dapat mengenalinya dari jauh lagi. Lampu brek ketiga dipasang pada hujung bonet.

Jentera yang 90kg lebih berat berbanding model LC500 itu dipasang dengan rim dua tona bersaiz 21 inci. Bagi mereka yang gemar membawa banyak barang, ruang kargonya cuma 149 liter. Memang agak kecil. Masuk ke ruang kabin, anda akan merasai kemewahan sebuah jentera Lexus. Kualiti pertukangan oleh pekerja mahir dikenali sebagai Takumi sangat menyerlah pada setiap inci ruang ini. Pembeli boleh memilih tiga tona untuk kabin sama ada merah, hitam atau putih.

Sebaik sahaja duduk di kerusi sport dibalut kulit semi aniline lengkap dengan liang dan pemanas itu, anda akan mendapati profail panel instrumen direka sedikit rendah untuk memudahkan pemandu melihat ke hadapan. LC 500 Convertible turut dilengkapi deflector angin transparent yang dipasang pada belakang tempat duduk. Selain pemanas leher dan teknologi Active Noice Control.

Rekaan elegan papan pemuka diserlahkan lagi dengan sebuah lampu analog dan Skrin multimedia hi-res 10.3 inci dengan paparan terpisah yang lengkap bersama ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Anda boleh mengawal sistem pendingin hawa, audio dan navigasi menerusi butang atau arahan suara. Maklumat pemanduan pula dipaparkan di meter kombinasi digital bersaiz 8 inci dan Heads-Up Display.

Kualiti bunyi daripada sistem audio Mark Levinson Reference Surround Sound dengan 13 unit pembesar suara pasti membuatkan perjalanan anda lebih mengujakan. LC 500 Convertible mengunakan khidmat enjin 5.0 liter V8 berkuasa 470hp dan tork 540Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan. Rangkaian kuasa itu membolehkannya memecut dari0-100km/j dalam masa hanya 4.9 saat dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270km/j.Menurut Lexus, penggunaan minyaknya adalah sekitar 12.7L /100km.

Sebagai sebuah kereta moden, convertible itu dilengkapi sistem keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+). Ia terdiri daripada sistem pra-perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan mengekalkan lorong, dynamic cruise control radar, auto high beam. Tidak ketinggalan, enam beg udara, blind spot monitor, RCTA dan banyak lagi. Ada tujuh warna untuk dipilih iaitu putih, biru, perak, kuning, merah, hijau, hitam, kelabu. Manakala pilihan warna bumbung pula ialah hitam atau beige.

Jika berminat, LC 500 Convertible boleh anda miliki pada harga RM1.35 juta (tidak termasuk insurans). Ia hadir bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma. Penyerahan pertama akan dibuat pada Februari 2021.

Sumber : Mekanika