Throwback : Meriah Dengan Tema Hawaiian & Pirate Of The Carribean

BMW Motorsport Enthusiast (///Mthusiast) telah mengadakan konvoi hari keluarga ke Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu. Sebanyak 24 buah kereta dengan 90 orang peserta, telah mengambil bahagian dalam program kali ini.

Konvoi berkumpul di BHP Tol Gombak, sebelum memulakan perjalanan pada jam 9.30 pagi. Akibat hujan lebat sepanjang perjalanan, mereka perlu berhati-hati semasa pemanduan dan selamat tiba di lokasi pada 4.30 petang. Di sebelah malam, mereka telah mengadakan pertemuan bersama Terengganu Bimmers Club di The Mayang Place, Pantai Batu Buruk, untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua kelab.

Acara sukaneka mengambil tempat di dewan resort pada hari kedua. Di sebelah petang, kesempatan yang ada digunakan mereka untuk bertandang ke beberapa lokasi menarik sekitar Kuala Terengganu. Acara kemuncak merupakan majlis makan malam dengan tema Hawaiian & Pirate of The Carribean, yang turut menyediakan pelbagai hadiah menarik dalam acara cabutan bertuah.

Selepas mendaftar keluar keesokan harinya, para peserta sekali lagi mengambil peluang melawat ke tempat-tempat menarik termasuk Maskid Kristal. Selesai membeli belah dan sesi foto bersama, mereka segera memulakan perjalanan pulang menuju destinasi masing-masing.

Terima kasih diucapkan kepada Mayda Events, DYXY Cosmetics, Melaka D’ Village, Dato’ Hafyruz Ron, serta semua yang terlibat kerana sudi menaja program kali ini. Kepada yang ingin menyertai kelab ini, kunjungi Facebook: ///Mthusiast – BMW Motorsport Enthusiast untuk maklumat lanjut.