Throwback : Mengangkat Pasaran Modifikasi Agar Lebih Berdaya Saing Dan Diiktiraf Dalam Industri

Bangkok International Auto Salon (BIAS) merupakan acara tahunan yang mendapat tempat di kalangan penggiat industri hiliran automotif di rantau ini. Berlangsung di Pusat Pameran Impact Arena, Bangkok ia diasaskan oleh francais terkenal Auto Salon, yang mengendalikan pameran Tokyo Auto Salon (TAS) di Jepun.

Pameran ini dikatakan sebagai yang terbesar di Asean bagi sektor automotif dan dikhususkan kepada peralatan aftermarket. Melihat kepada susun atur pameran dan promosi yang dijalankan, pihak penganjur jelas komited mengangkat pasaran modifikasi supaya lebih berdaya saing dan diiktiraf dalam industri ini.

Pameran ini mengetengahkan puluhan pemain industri aftermarket, pengeluar peralatan aksesori, termasuk jenama utama seperti Isuzu, Toyota, Honda, Yamaha dan lain-lain. Barisan kereta yang dipamerkan juga cukup menarik dan sebahagian besarnya dimiliki oleh tuner tempatan dan pemilik persendirian.

Dari model berprestasi JDM, pikap trak, hinggalah kepada jentera modifikasi yang menduga akal. Di pameran ini juga kelihatan beberapa peserta dari Malaysia, yang tidak melepaskan peluang mempamerkan jentera masing-masing di pentas antarabangsa ini.

Thailand dilihat cuba menjadi Detroit Asia menerusi kejayaan polisi automotif mereka yang jelas. Walaupun tidak sebesar pameran di Jepun, Bangkok International Auto Salon boleh dijadikan alternatif terbaik buat mereka yang ingin melihat perkembangan dunia modifikasi luar yang sebenar.