Throwback : 6th Anual Gathering

Untuk tahun keenam berturut-turut, Nissan Bluebird U12 Division telah mengadakan program perhimpunan tahunan, melibatkan para pemilik dan bekas pemilik Nissan Bluebird U12 dari seluruh negara. Mereka memilih Kuala Woh di Tapah, Perak sebagai lokasi pertemuan.

Seramai 46 orang ahli bersama keluarga masing-masing telah menyertai acara ini. Selain mampu mengeratkan hubungan silaturahim, ia juga membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang kereta masing-masing, memandangkan kebanyakan mereka sebelum ini hanya bertemu di laman sosial.

Para peserta memulakan konvoi mengikut zon masing-masing. Bagi peserta Lembah Kelang, mereka diminta berkumpul di R&R Sungai Buloh dan bertolak pada jam 9.00 pagi. Setiba di sana, mereka segera mendaftar masuk dan berpeluang untuk berehat buat seketika.

Di sebelah petang diadakan acara rewang, untuk menyiapkan hidangan secara bersama. Ia diteruskan dengan aktiviti sukaneka, meliputi acara bowling buah kelapa, isi air dalam botol dan tarik tali. Menjelang malam berlangsung majlis makan malam dan BBQ, termasuk sesi karaoke, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah.

Keesokan harinya, para peserta mengambil peluang untuk berkelah dan mandi-manda di sungai Kuala Woh. Selesai makan tengahari, mereka kembali berkumpul untuk sesi fotografi, sebelum bergerak bergerak pulang menuju destinasi masing-masing.

Kepada pemilik Nissan Bluebird U12 yang ingin menyertai kelab ini, layari Facebook Groups ‘U12 Division’ untuk maklumat lanjut.