Tetap Menggunakan Formula Dan Resipi Lama!

Sebagaimana pengeluar automotif lain, Mazda juga tidak ketinggalan memberikan fokus terhadap pengeluaran barisan SUV buat ketika ini. Namun, pengeluar dari Jepun ini tidak pernah melupakan MX-5. Kereta ikonik ini ternyata mempunyai tempat istimewa apatah lagi apabila dikatakan, generasi kelima sedang dibangunkan untuk meneruskan lagi legasi ini.

Menurut laporan Autocar, ketua jurutera pembangunan produk di Mazda Eropah Joachim Kunz berkata, buat ketika ini, MX-5 kekal menggunakan konsep yang sama seperti saiz dan juga enjin pembakaran. Namun, tidak mustahil ia juga bakal ditukar menjadi elektrik dengan mengekalkan konsep asalnya. Katanya lagi, divisyen di Eropah tidak begitu terlibat dalam pembangunannya seperti model-model utama lain.

Selain itu, Joachim Kunz juga memberitahu bahawa MX-5 mempunyai kitaran lebih panjang berbanding model-model lain tetapi ia bukan satu isu yang besar. Satu generasi untuk 10 tahun tidak menjadi masalah untuk Mazda seperti MX-5 generasi keempat yang mula-mula diperkenalkan pada tahun 2014 dan mungkin ia satu gambaran bahawa generasi kelima bakal muncul pada tahun 2024?

Sumber : Carscoops