Suzuki Swift 2021, Adakah Peluang Kembali Ke Pasaran Malaysia?

Suzuki Swift semasa ditawarkan di pasaran tempatan satu ketika dahulu merupakan alternatif baik buat pengguna yang mahukan sebuah hatchback jenama import. Harga berpatutan, saiz kompak dan reka bentuk bergaya merupakan daya tarikan utama bagi Swift. Walaupun sudah bertahun, kelibat Swift masih mudah ditemui di jalan raya dan mengingatkan kembali popularitinya dahulu.

Di peringkat antarabangsa, Swift kini berada di dalam generasi keempat sejak diperkenal di Jepun pada Disember 2016. Selepas pelancaran di Jepun, Suzuki Motor Corporation memperkenalkannya di Eropah pada Pameran Kenderaan Geneva 2017. Setelah beberapa tahun di pasaran, sudah tiba masa untuk model rupa baharu (facelift) diperkenalkan.

Suzuki Swift 2021 tampil dengan enjin baharu 1.2 liter hibrid dan naik taraf kelengkapan standard. Pada peringkat awal pembangunan, reka bentuk luar Swift dibuat berdasarkan konsep evolusi berani/ketara DNA Swift (bold evolution of Swift’s DNA).

Model rupa baharu masih kekal dengan konsep asal dan pada masa sama berbeza pada komponen seperti gril depan dan reka bentuk lampu utama. Bumbung pula nampak seperti terapung dengan tiang yang digelapkan. Kesemua varian Swift 2021 mempunyai lampu utama LED dan lampu kombinasi sebagai ciri standard yang sebelum ini dikhususkan untuk Swift SZ5 sahaja.

Berikut ialah di antara kelengkapan standard pada Suzuki Swift 2021:
– Varian asas Swift SZ-L: Penyaman udara, kamera pandangan belakang, Radar Brake Support with Adaptive Cruise Control, stereng balutan kulit, paparan audio sambungan telefon pintar dengan radio DAB, cermin privasi, lampu utama LED, lampu belakang kombinasi LED, lampu kabus depan, roda aloi 16 inci kemasan kilat dan tingkap depan berkuasa.
– Tambahan untuk SZ-T: roda aloi 16 inci berwarna kelabu dan teknologi bantuan pemandu seperti Dual Sensor Brake Support, Lane Departure Warning and Weaving Alert, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitor, Pengecaman Isyarat Trafik dan sensor parkir belakang.
– Tambahan untuk Swift SZ5: Sistem navigasi, roda aloi 16 inci warna kilat, penyaman udara automatik, kemasukan dan menghidupkan kereta tanpa kunci, stereng teleskopik yang boleh dilaras, tingkap belakang elektrik, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok.

Enjin
Suzuki pertama kali memperkenalkan enjin 1.2 liter Dualjet (K12C) pada 2014 untuk Swift dan kemudian disusuli Baleno dan Ignis. Enjin itu diganti dengan unit K12D Dualjet baharu berkuasa 83PS dengan tork 107Nm pada 2,800 rpm. Daya pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 12.2 saat bagi model CVT.

Enjin K12D 1.2 terbaru mempunyai sistem dua pancitan baharu dengan menawarkan respon berkuasa dan cekap bahan api selain kadar emisi CO2 lebih rendah. Lagi ciri enjin itu ialah kemasukan (intake) elektrik VVT, pam minyak jenis ‘variable displacement’ dan ‘jet penyejukan’ omboh elektrik.

Sistem Hibrid
Kecekapan bahan api Swift ditambah lagi dengan padanan sistem hibrid pengecasan sendiri yang dikuasakan bateri lithium-ion baharu 10Ah berbanding 3Ah sebelum ini. Sistem hibrid 12V Swift mempunyai Integrated Starter Generator (ISG) yang berfungsi sebagai penjana (generator) dan motor penghidup.

ISG digerakkan tali sawat dan berfungsi dengan membantu enjin semasa kereta bergerak, memecut dan menghasilkan elektrik sewaktu pembrekan regeneratif. Unit ISG mempunyai output kuasa 2.3kW dengan angka tork 50Nm dan hanya menambah 6.2 kg pada berat keseluruhan kereta.

Selain itu, Swift Sport Hybrid bernadikan sistem 48V dan enjin baharu K14D Boosterjet yang diperkenal sebelum ini merupakan satu-satunya hatchback dengan teknologi pengecasan sendiri.

Kotak gear CVT
Transmisi alternatif untuk Swift SZ-T dan SZ5 pacuan 2WD dengan nadi 1.2 Dualjet Hybrid.

Sistem Adaptive Cruise Control (ACC)
Standard untuk kesemua varian rupa baharu Swift dengan menggunakan teknologi radar milliwave.

4WD (ALLGRIP AUTO)
Sistem pacuan empat roda yang ditawarkan secara pilihan dan khusus untuk Swift SZ5 dengan transmisi manual.

Dengan pengenalan Suzuki Swift rupa baharu ini bagaimana pula dengan perkembangan di pasaran tempatan? Setakat ini berita kemasukan semula Suzuki masih belum mendapat pengesahan konkrit lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ