Kisahnya, gua telah berkenalan dengan kereta ini kira-kira 8 tahun yang lalu. Ketika itu, ia sedang dibina semula oleh pemiliknya dari kondisi separuh reban. Mujur jugak ia masih berkongsi komponen dengan model Fiore biasa. Lepas makan tahun berhempas pulas, ia berjaya dihidupkan semula walaupun tidak sempurna seratus peratus.
Secara tak sengaja, gua kembali bertemu dengan kereta ini dalam sesi TT ringkas bersama pemilik jentera Mirage. Memula tengok tak perasan mana. Lepas dibelek gambo lama, rupanya ia masih kereta yang sama walaupun kini sudah bertukar tangan.
Kepada yang kurang maklum, ini adalah model Mirage generasi kedua, yang turut menggunakan nama Lancer dan Colt mengikut negara pasaran. Selain model NA yang biasa, ia turut memiliki versi istimewa Mirage 1600 GSR X1X, yang dilengkapi enjin bersiput 4G32T. Kalau ada yang perasan, Mirage ini juga kerap digunakan dalam filem lakonan Jackie Chan seperti Police Story 1, Police Story 2, Heart of Dragon (The First Mission) dan Naughty Boys.
Di negara kita, kereta ini jatuh dalam kategori super rare memandangkan jumlah yang sangat terhad. Tak pasti berapa banyak yang pernah tersadai di sini. Tapi kalau campur yang rentung dengan bergeran sekali pun, belum tentu boleh genap sepuluh jari.
Yang ini milik Sladunk, seorang abam pegawai yang memang kacak bila beruniform. Mana datang nama Sladunk tu pun gua tak pasti. Mungkin sebab badannya, mungkin sebab karektornya, mungkin jugak sebab dia pemain basketball.
Di tangan Sladunk, bahagian luar kereta ini telah dicantikkan semula menerusi kerja-kerja pentacapan yang serius. Makin berseri-seri rupanya dengan asas berkaler kuning. Memandangkan kit Aero GT Mirage C12 hampir mustahil untuk diperolehi, sebahagian komponen badannya telah dihantar untuk proses salutan karbon bagi mencari kelainan. Antaranya bahagian hood, fender, grill, pintu, bonet, skirt sisi dan cermin sisi. Kit badan Mirage C12 lain masih dikekalkan, sebelum ditambah lip Accord SV4 kustom, serta unit sunroof MMC di bahagian bumbung.
Sektor pengendalian telah diubahsuai dengan cara yang tersendiri. Nak kata kengkang tak jugak, cuma dilabuhkan pada kadar yang lebih sesuai. Di bahagian roda tersemat rim Enkei RP01 bersaiz 15-inci, lengkap dengan tayar Continental CC5 berukuran 195/50R-15. Sementara kuasa hentian pula, datang dari set brek Proton Perdana untuk depan dan belakang.
Jika dulu ia pernah menggunakan enjin 4G63T dari EVO III, namun enjin tersebut tidak lagi berkhidmat pada kereta ini. Sebagai ganti, ia kini menggunakan enjin NA jenis 4G15 yang lebih mesra poket. “Sekarang nak bawak rilek-rilek jer bang,” kata Sladunk sambil mengusap-ngusap bunga tayar barunya…
Seperti dijangka, enjin baru ini tidak mengalami sebarang perubahan kecuali sentuhan krom di sana-sini. Untuk tujuan prestasi, terdapat penapis udara Apexi, ram udara kustom, pam petrol AVS, rel bahan api Sard, serta unit regulator Works Engineering. Kotak gear manual yang digunakan juga tidak berubah. Manakala sistem ekzos telah dibina semula, sebelum bersambung dengan muffler dari Pro1.
Ruang dalaman mendapat gaya lebih sporty, hasil pemasangan sepasang bangku bakul dari Bride. Bagi menghasilkan mood yang sama, komponen penting seperti papan pemuka, konsul tengah dan pilar telah dihitamkan, termasuk balutan semula lelangit bumbung dan tempat duduk belakang. Diselitkan juga stereng kapal terbang dan meter LCD dari Mirage C12 Turbo. Satu-satunya komponen yang belum Sladunk ubah adalah panel pintunya, yang hampir mustahil untuk diganti pada waktu ini. Dah bendanya panjang terjulur. Takkan nak cantum pakai dua pintu Fiore!
Ia bukan sekadar minat, tapi turut melibatkan komitmen yang besar. Penat lelah yang diusahakan Sladunk untuk melahirkan semula model legasi ini, nampaknya sangat berbaloi…
SPESIFIKASI
-
- Pemilik – Mohd Shahril (Sladunk)
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Mirage C12A
- Tahun – 1984
- Enjin asal – 4G13 Orion
- Modifikasi Enjin – 4G15, penapis udara Apexi, ram udara kustom, pam petrol AVS, rel bahan api Sard, regulator Works Engineering
- Transmisi – 4G15 manual
- Ekzos – Kustom, muffler Pro1
- Luaran – Kit badan Mirage C12, salutan karbon – hood, fender, grill, pintu, bonet, skirt sisi & cermin sisi, lip Accord SV4 kustom, sunroof MMC
- Suspensi – KYB
- Brek – Proton Perdana
- Rim & Tayar – Enkei RP01 15-inci & Continental CC5 195/50R-15
- Dalaman – Tempat duduk depan Bride, balutan semula lelangit bumbung & tempat duduk belakang, stereng & meter LCD Mirage C12 Turbo
- Bengkel – Nanat Maju Graphic, Bai Autoworks, Az Autoworks, Dutama Auto service