Permintaan terhadap ‘kereta bandar’ saiz sedang-sedang ni, sebenarnya telah bermula sejak puluhan tahun dulu. Model-model hatchback dari segmen B sama ada jenis subkompak atau supermini, adalah sebahagian darinya.
Namun ketika Jazz diperkenalkan pada tahun 2001, ia hadir dengan pakej lebih segar termasuk merevolusikan semula rekabentuk luar dan dalam. Tak nampak dah bentuk 2 kotak seperti rekaan konservatif, memandangkan kedudukan pilar A kini dibuat lebih serong dan condong. Gaya rekaan ini kemudian mula diterima baik, malah turut digunakan oleh pengeluar lain.
Aidil antara yang memilih model hatchback kompak ini sebagai kereta mainannya. Ia bermula sebagai model asas, sebelum dipertingkat mengikut kesesuaian. Paling jelas penggunaan kit badan Jazz GK FL, spoiler ducktail Jazz GP5, padanan lampu Jazz GK FLRS untuk depan dan belakang, hood depan Shift Sport, tambahan lip depan dan skirt sisi gentian karbon, serta cermin sisi Craft Square. Pemilihan kaler passion red itu juga memainkan peranan, menjadikan ia lebih menonjol berbanding kebanyakan.
Perincian bahagian roda menyaksikan kehadiran rim supermahal Volk Racing TE37 Sonic berukuran 16-inci. Ia dipadankan bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 205/50R-16. Sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras dari BC Racing. Manakala kuasa hentian, datang dengan gabungan brek AP Racing Pro 5000 untuk depan, serta kit brek Fit JDM dengan rotor AP Racing untuk belakang.
Enjinnya adalah jenis yang diidamkan oleh pemilik Jazz yang pentingkan prestasi. Takyah pikir panjang, disumbatnya terus enjin K20A dari Integra DC5R. Memastikan ia mampu duduk dengan selesa, kedudukan enjin diikat pada cagak enjin Hasport, yang memang direka khas untuk tujuan ini.
Tiada peningkatan drastik dilakukan Aidil ke atas enjin ini. Pakai standard pun dah gigil, lagi mau bikin. Buat masa ini, ia hanya menerima sebuah ram udara kustom dengan penapis udara Simota untuk proses penerimaan udara. Keseluruhan sistem pendawaian menggunakan komponen milik Civic FD2R. Manakala proses talaan dilakukan dengan perisian Hondata FlashPro.
Jazz memiliki ruang dalaman yang jauh lebih besar dari saiznya. Untuk nampak lebih sokan, ia kini diserikan dengan sepasang tempat duduk Recaro SR4 di bahagian depan. Hamparan dashboard masih lagi sama, kecuali kehadiran stereng Keys Racing dan gugusan meter Defi. Untuk lontaran gear lebih padu, bahagian tuas gear telah digantikan dengan komponen lengkap dari K-Tuned.
Ketika ini, Yaris dimomokkan sebagai model baru yang mampu mencabar kedudukan Jazz dalam segmen ini. Wah, awal sangat claim tu. Tunggulah Jazz baru keluar dulu. Ni nak sergah Myvi pun tak mampu. Yakin sungguh kamu…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Aidil
- Pengeluar – Honda
- Model – Jazz GK
- Tahun – 2017
- Enjin asal – L15A
- Modifikasi enjin – K20A Integra DC5R, cagak enjin Hasport, ram udara kustom, penapis udara Simota, sistem pendawaian Civic FD2R, Hondata FlashPro
- Transmisi – Kotak gear manual Integra DC5R, set klac Ogura Super Single
- Ekzos – Paip kustom 2.75-inci, muffler K-Tuned
- Luaran – Kit badan Jazz GK FL, spoiler ducktail Jazz GP5, lampu Jazz GK FLRS, hood depan Shift Sport, lip depan & skirt sisi gentian karbon, cermin sisi Craft Square
- Suspensi – BC Racing
- Brek – AP Racing Pro 5000 (depan), Fit JDM & rotor AP Racing (belakang)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 Sonic 16-inci & Yokohama Advan Neova AD08R 205/50R-16
- Dalaman – Tempat duduk Recaro SR4, stereng Keys Racing, meter Defi, tuas gear K-Tuned
- Bengkel – Car Tech Garage, Fateh Tayar, Xian Fong Service