Baru-baru ini, Lexus Malaysia mengumumkan generasi kedua Lexus NX sudah tiba di pasaran dan dibuka untuk tempahan. SUV serba baharu ini didatangkan dalam dua versi; NX 250 Luxury bermula pada harga RM370,888 dan NX 350 F Sport pada harga RM389,888 (tidak termasuk insurans dan tidak termasuk pengecualian SST yang berakhir pada 30 Jun ini).
Bagi versi NX 250 Luxury, ia dikuasakan enjin 2.5 liter NA yang menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 243 Nm tork dari 4,000 hingga 5,000 rpm. Manakala untuk versi NX 350 F Sport pula dilengkapi enjin 2.4 liter turbocas yang menghasilkan 275 hp pada 6,000 rpm dan 430 Nm tork dari 1,700 hingga 3,600 rpm.
Selain itu, ia menggunakan sistem pacuan semua roda kawalan elektronik di mana kuasa disalurkan ke roda depan serta mengalihkan tork ke gandar depan dan belakang bila-bila diperlukan. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan bersama kawalan AI Shift. Berbanding generasi sebelumnya, model ini menggunakan platform GA-K Lexus Global Architecture yang menampilkan 30% lebih kukuh yang memberikan kawalan serta pengendalian yang jauh lebih baik.
Beralih pula ke sudut kelengkapan keselamatan, Lexus NX generasi kedua ini didatangkan dengan standard Lexus Safety System Plus (LSS+) yang menampilkan ciri-ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC). Selain itu, turut disertakan dengan fungsi Stop/Go dan juga lampu tinggi adaptif atau Active High-beam System.
Tidak cukup dengan itu, beberapa bantuan kepada pemandu lain turut dilengkapi pada SUV serba baharu ini termasuk Road Sign Assist (RSA) yang berfungsi membaca papan tanda had laju, Parking Support Brake (PKSB) yang bertindak mengawal output enjin dan menghidupkan brek autonomous ketika parkir.
Generasi kedua Lexus NX ini juga dilengkapi dengan infotainmen yang mengujakan seperti skrin sesentuh seluas 14-inci dan Android Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar. Bagi menceriakan lagi interior Lexus NX 2022, kedua-dua varian didatangkan dengan 64 warna pilihan untuk lampu suasana. Satu lagi ciri yang pasti digemari bakal para pemilik Lexus NX apabila ia dilengkapi dengan pembuka pintu e-latch. Tekan satu butang, pintu akan terus terbuka.
Lexus NX 2022 ini ditawarkan dalam lapan pilihan warna dan varian F Sport diberikan dua pilihan warna eksklusif. Warna interior tampil agak lebih gelap dengan warna hitam dan gelap, sementara varian Luxury menerima perincian berwarna Hazel.