Storm Trooper

Tak Semua Pomen Bagitau Resepi Penuh Dekat Kita, Maka Berserahlah Dengan Apa Yang Ada

Kenapa ramai kaki kereta memilih Proton untuk modified? Sebab kita duduk kat Malaysia. Tu aje jawapan yang paling senang. Tak perlu nak pening-pening fikir. Lainlah kalau kita duduk dekat Jepun. Mungkin ada pilihan lain yang kita boleh buat. Tapi kita juga kena tahu, kebanyakkan model-model terawal Proton adalah berasaskan jenama Mitsubishi yang boleh dikatakan ditiru hampir 100%.

Jarang kalau jentera yang dipaparkan dalam majalah Kaki Kereta ini tidak kelihatan kelibat sang Satria. Ya, jentera yang sangat popular dan tidak ditenggelam zaman kewujudannya. Kalau ada yang menyimpan model-model keluaran terhad Satria, ini adalah masa yang sangat sesuai untuk mencuba harga semasa yang rasanya sudah mula agak menggugurkan jantung. R3 punya model pun dah dekat 30k malah lebih kalau diikutkan pasaran semasa sekarang.

Adalah satu kelebihan kepada pemilik jentera Proton jika hendak menaiktaraf jentera mereka untuk lebih ekstrem apabila memiliki model yang didatangkan dengan cc yang lebih besar. Katanya jika menggunakan badan asal cc lebih besar, kekuatan cesi badannya adalah lebih baik berbanding yang lain. Ternyata, Proton Satria milik CMT Garage ini pada asalnya adalah sebuah jentera berkapasiti 1.6 liter dan telah diubahsuai dengan menggunakan nadi 4G63T dari milik Mitsubishi Evo 3.

Semestinya, jentera pejuang seperti ini tidak dikekalkan dengan peralatan stok di dalamnya. Maka, dengan segala ilmu dan teknik yang ada, keseluruhan enjin dirombak semula. Selamat tinggal kepada piston asal yang terlalu halus dan digantikan pula dengan piston 2Jz milik Toyota Supra digabungkan bersama rod dari enjin diesel seterusnya menjadi penghuni tetap dalam ruangan blok 4G67. Kepala silinder 4G63T ini pula telah melalui proses ‘port n polish’. Aci sesondol di dalamnya diikatkan dengan pulley boleh laras.

Beberapa peralatan lain yang turut digunakan pada enjin ini adalah unit ‘throttle body’ S90, wastegate dan blow-off GReddy, unit turbo TD06 GReddy serta tangki 4WD telah menggantikan yang asal. Segala gas karbon hasil pembakaran dalam ruangan kebuk ditolak keluar melalui sistem ekzos berukuran 3 inci.

Talaan dan pengurusan enjinnya pula menjadi tanggungjawab yang digalas oleh ECU Link Atom. Kuasa dari enjin kemudian dihantar ke bahagian kotak gear Evo 3 yang sentiasa bersedia untuk memastikan pacuan roda seperti apa yang diminta oleh si pemandunya.

Untuk kawalan dan sesi pemanduan yang lebih baik, jentera ini dipakaikan dengan sistem penyerap hentak boleh laras HWL manakala keseluruhan sistem ‘lower arm’ asal telah digantikan dengan peralatan dari Evo 3. Bagi kuasa pemberhentian lebih baik, keseluruhan sistem breknya juga dinaik taraf dengan set lengkap milik Evo 3.

Ruang dalaman jentera ini telah mendapat persalinan trim pintu berwarna hitam serta papan pemuka dari model Mivec. Tempat duduk belakang diambil dari model GTi manakala depan pula milik Proton Putra yang dipadankan bersama stereng Momo Corse. Meter Defi Thailand 3 beradik, meter ‘boost’ GReddy serta Apexi RSM diletakkan kemas di atas papan pemuka.

Penampilan luarnya pula diperhebatkan lagi dengan kit badan asli Evo 3 di bahagian hadapan serta turut dipasangkan ‘sunroof’ Pajero di atas bumbungnya. Akhir sekali, rim berukuran 16 inci TE37 membuatkan jentera ini tampak lebih menyerlah.

Spesifikasi
Kereta : Proton Satria 1.6
Modifikasi Enjin : 4G63T, blok 4G67, throttle body S90, Piston 2Jz, rod diesel, adjustable campulley, wastegate GReddy, blow-off GReddy, tank 4WD, turbo GReddy TD06, piping ekzos 3 inci,
Transmisi / Gearbox : Mitsubishi Evo 3
Elektronik / ECU : Link Atom
Suspensi & Cesi : HWL adjustable, lower arm Evo 3
Brek : Mitsubishi Evo 3
Roda & Tayar : Rim Volk Racing TE37 16”
Dalaman : Door trim black Mivec, dashboard Mivec, seat depan Putra, seat belakang Satria GTi, stereng Momo Corse, boost meter GReddy, Defi Thailand 3 beradik, Apexi RSM
Luaran : Bodykit Evo 3, sunroof Pajero
Bengkel & Tuner : CMT Garage
Pemilik : CMT Garage