Siri Previu Di Empat Bandar Bermula Sabtu Ini

Holdings Bhd akan mengadakan siri previu Proton X50 di empat bandar bermula 19 September ini bagi membolehkan orang ramai melihat dengan lebih dekat model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu itu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed.

“Paling penting, SUV baharu ini juga akan dibuka bagi tempahan di cawangan kami, dengan yuran tempahan sebanyak RM500, bermula hari ini,” katanya kepada BH.

PROTON mula menerima tempahan daripada orang ramai hari ini walaupun kenderaan itu belum dilancarkan secara rasmi dan harga bagi empat varian yang ditawarkan belum didedahkan kepada umum. Model X50, kenderaan kedua yang dilancarkan hasil dari perkongsian teknologi antara PROTON dan Geely dikeluarkan di kilang pengeluaran baharu PROTON di Tanjung Malim.

Komuniti pembekal automotif Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada pengeluaran X50 di kilang Tanjung Malim dengan jumlah pembelian yang dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion setahun. Sementara itu, tinjauan yang dibuat oleh BH mendapati penasihat jualan PROTON telah mula mengambil tempahan SUV segmen B itu walaupun kenderaan berkenaan masih belum diletakkan di bilik pameran seluruh negara. Difahamkan, kumpulan pertama pembeli yang membuat tempahan hari ini dijangka mendapat Proton X50 masing-masing seawal tiga bulan dari sekarang atau sebelum hujung tahun ini.

PROTON dilaporkan bersedia mengeluarkan sehingga 8,000 unit model Proton X50 dalam tempoh lebih kurang dua bulan iaitu menjelang akhir tahun ini jika menerima banyak permintaan. Dibina atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang juga digunakan oleh produk Geely dan Volvo, model Proton X50 didatangkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dan mempunyai enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red serta citric orange.

Bagi tiga varian pertama, setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo, manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT. Dari segi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta sistem bantuan pemandu tercanggih yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim. – bharian.com.my