Kita Tetap Boleh Main Kereta Walaupun Modal Tak Besar Yang Penting Cara Kita Menggayakannya
Selain daripada Honda dan Mitsubishi, Toyota juga turut tersenarai di antara kereta idaman anak muda. Benar, lain orang lain poket dan citarasanya. Jentera yang sudah berusia lebih kurang 26 tahun ini masih gah di jalanan dengan pelbagai penampilan. Tetapi, yang mana masih tersimpan tu, ada ke yang nak buat comeback? Kita boleh lihat sendiri, walaupun pemilik jentera seperti ini agak kurang menampilkan diri tetapi sekali kalau buat event, mesti ramai dan secara besar-besaran acaranya.
Untuk isu kali ini, kita tampilkan sebuah jentera Toyota Corolla SEG AE101 milik saudara Fitri Abdul Aziz. Jentera ini telah didaftarkan pada tahun 1994 dan masih dijaga dengan begitu baik. Seharusnya, jentera ini telah diberikan nafas baru supaya ianya kelihatan lebih baik serta bergaya walaupun ianya telah berusia.
Menurut beliau, antara sebab utama mengapa memilih jentera ini sebagai kereta projek adalah disebabkan faktor nilai pasaran dan peralatan prestasi pada ketika ia dimulakan agak baik dan berpatutan. Maka, dengan kemampuan yang ada, beliau telah memulakan projek menaiktaraf dan membaik pulih semula jentera ini supaya kelihatan lebih baik berbading sebelumnya.
Nadi asal jentera ini adalah 4AFE bersesaran 1.6cc automatik yang sudah agak lembap. Maka, pilihan utama untuk menggantikannya seharusnya 4AGE 20 Valve manual yang lebih mantap penjanaannya. 4AGE ini merupakan enjin yang telah dihasilkan sekitar tahun 1995 ke 2000. Dengan ‘valve cover’ berwarna hitam, maka ianya turut digelar sebagai Blacktop yang sangat berkuasa.
Nadi baru ini semestinya telah dinaik taraf dengan begitu baik. Aci sesondol dan pulley telah dikustomkan oleh pihak JMS Tuner. Spring injap dan retainernya pula menggunakan jenama Supertech. Kepala silinder pula telah melalui proses ‘port n polish’ untuk mendapat lebih pelawasan di dalamnya. Di dalam ruangan blok diletakkan piston berukuran 82mm dari CP berserta rod dari Duratech. Antara permukaan blok dan kepala silinder telah dilapikkan dengan gasket metal dri TRD.
Kotak gear 6 kelajuan yang digunakan telah dipadankan bersama klac dari TRD serta ‘flywheel’ Cusco untuk penyampaian kuasa lebih baik kepada bahagian roda. Jentera ini telah menggunakan sistem suspensi boleh laras Tein Flex HLSH dengan bodyshift. Maka, tahap kestabilan jentera ini menjadi lebih baik ketika dipacu kuasanya. Sistem breknya pula diperhebatkan dengan penggunaan kaliper 6 pot dari Kido.
Ruang dalamnya pula dipakaikan dengan tempat duduk bucket dari Bride untuk bahagian pemandu manakala BZR untuk penumpang sebelahnya. Panel pintu jentera ini juga dibaluti dengan kemasan bertulisan Bride. Kelihatan juga meter ‘oil press’ dan ‘oil temp’ dari Works turut dipakaikan. Kemudian, stereng Nardi dipadankan dengan tombol gear TRD berwarna putih di sisi.
Penampilan luar jentera ini pula telah diserikan lagi dengan penggunaan lips dan hood depan dari model GT FRP. Skirt sisinya pula milik model GT 111 dan grill hadapannya pula dari model Wagon. Jangan pelik, cermin sisi jentera ini adalah dari Spoon walaupun dia bukan Honda!
Akhir sekali, rim CP035 berukuran 15 inci dipasangkan dibaluti tayar Toyo R1R untuk bahagian depan manakala Victra i-Pro di belakang. Mengikut info, kos untuk menaiktaraf jentera ini di bawah RM20,000. Menarik ni… ada sesiapa nak jual kereta murah-murah?
Spesifikasi
Owner : Fitri Abdul Aziz
Kereta : Toyota AE101 1994
Modifikasi Enjin : Cam in/ex custom JMS, Cam pully custom JMS, Port polish head JMS, rod Duratech, valve spring & retiner Supertech, metal gasket TRD, Piston CP 82mm design by JMS
Transmisi / Gearbox : 6 Speed Manual, Flywheel Cusco, Clutch TRD
Elektronik / ECU : Haltech
Suspensi & Cesi : Tien Flex HLSH bodyshift
Brek : Caliper Kido 6 pot
Roda & Tayar : Tayar depan Toyo R1R, tayar belakng Victra i-Pro, Rim CP035 (15/7jj/35et)
Dalaman : Bride bucket (kanan), BZR seat (kiri), door trim balut kain Bride, meter oil press & oil temp Works
Luaran : Lips GT FRP, side skirt GT 111, hood depan FRP, side mirror Spoon, Grill wagon
Bengkel & Tuner : JMS Tuner Jalan Kebun, Klang