Sesuai Untuk Kegunaan Di Bandar, Dijual Pada Harga Mampu Milik

Dunia kereta elektrik (EV) berkembang dan menjadi semakin menarik saban hari. Pengeluar kereta seperti Hyundai mencipta rekaan yang memikat pandangan mata seperti Ioniq 5 dan 6. Satu lagi pengeluar yang lain, membawakan sebuah kereta elektrik yang tampil cantik. Pengeluar yang dimaksudkan ialah Renault menerusi Renault 5 EV yang disasarkan untuk kegunaan di bandar dengan jarak tidak kurang 250 batu dan dijual pada harga mampu milik.

Menurut portal Autoevolution, Renault 5 EV 2024 ini menampilkan ciri-ciri yang sepatutnya ada pada sesebuah kereta elektrik. Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Renault 5 EV ini dikatakan sebuah kereta elektrik paling mengujakan setakat ini. Pendek kata, dunia memerlukan lebih banyak kereta elektrik model kecil seperti Renault 5 EV ini.

Tidak dinafikan, lebih banyak kereta bersaiz besar yang dikeluarkan secara umumnya pada ketika ini. Lihat sahaja BMW iX 2022, betapa besar saiznya sekarang dan kurang menarik berbanding sebelumnya. Namun, satu EV yang boleh diterima iaitu Honda e. Kereta yang sesuai digunakan di bandar ini mempunyai banyak ruang di dalamnya. Tambahan pula, ia tampil lebih sporty seperti kereta Honda Civic 1st Gen.

Sebagaimana kereta lain, Renault 5 EV ini tiada beza menerusi imej yang disertakan dan jelas menunjukkan ia bukan sebuah SUV. Ia sebuah kereta elektrik kecil di mana menurut Renault, ia dibina sebagai salah sebuah kereta kecil EV yang seronok dipandu. Secara tidak langsung, ia memberikan saingan kepada Honda e dan juga Fiat 500 Electric serta Mini Elektric. Walaupun bersaiz kecil, Renault 5 EV ini menawarkan ruang yang besar dan juga praktikal – sesuai sebagai kereta elektrik moden.

Bercakap tentang gaya, Renault 5 EV ini merupakan inspirasi dari kereta retro asal Renault dengan nama yang sama sepertimana trend yang telah dimulakan oleh Honda e. Tidak melampau kalau dikatakan, ia merupakan sebuah interpretasi Renault 5 yang cukup menarik dengan fascia hadapan bergaya kemas. Tiada grill gergasi tetapi penampilan yang cukup kemas bersama pengambilan udara untuk menyejukkan tren-pacuan elektrik. Bahagian belakangnya juga tidak kurang hebatnya.

Renault 5 baharu ini mengekalkan ‘boxy silhouette dari model sebelumnya tetapi menggunakan elemen moden seperti headlamp dan tail light. Pemegang kunci tersembunyi di C-pillar, manakala bahagian pintu belakang adalah ‘flush fit’ dengan quarter panel. Tidak seperti kebanyakan kereta kecil lain, Renault 5 memang benar-benar kecil dengan ukuran 3.92 meter panjang, lebih kecil berbanding Renault Clio.

Walaupun dikeluarkan dengan penampilan retro, Renault 5 ini dijual pada harga mampu milik. Bagaimana pun, harganya hanya diketahui apabila ia bakal berada di pasaran dan dijangka pada tahun hadapan.

Sumber : Autoevolution