Sebanyak 1,756 Unit Telah Dihantar Kepada Pembeli, Catat Jualan Memberangsangkan

Proton dilihat terus mencatat angka jualan memberangsangkan ketika tahun 2020 semakin hampir ke penghujungnya. Pada November, sebanyak 11,411 unit kenderan Proton berjaya dijual melibatkan pasaran domestik dan import. Angka itu merupakan kenaikan 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Sekali gus menyumbang kepada jumlah jualan sebanyak 96,410 unit pada 2020.

Ia bersamaan peningkatan 7.5 peratus berbanding tahun lalu dengan pegangan pasaran dianggarkan sekitar 20.1 peratus. Walaupun jualan model-model lain Proton menurun sedikit berbanding Oktober, penyerahan X50 kepada pembeli telah meningkat. Sebanyak 1,756 unit telah dihantar, menjadikannya sebagai SUV segmen B lima tempat duduk paling laris di Malaysia.

X70 pula mencatat jualan 2,157 unit pada November. Angka jualan pada hujung tahun ini memberikan keyakinan untuk Proton menempuh tahun 2021.

“Jualan kenderaan di Malaysian melebihi jangkaan yang dibuat pada awal tahun ini. Kami anggarkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 56,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut. Tawaran akhir tahun yang biasanya diberi oleh pengeluar kenderaan merupakan antara sebab situasi ini.

“Ditambah pula dengan inisiatif PENJANA dan pelancaran model baru seperti Proton X50 yang membantu meningkatkan jumlah jualan.

“Kami akui, kadar penyerahan Proton X50 masih belum sampai tahap maksima. Tetapi kami sentiasa berjaga-jaga untuk memastikan pelanggan menerimaproduk terbaik yang memenuhi ekspektasi mereka.

“Biarpun begitu, jumlah kenderaan yang dihasilkan akan ditingkatkan setiap bulan untuk memendekkan tempoh menunggu. Kami berharap pelanggan boleh bersabar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah.

Proton sentiasa ingin mengembangkan pasaran di luar negara, jadi penambahan jualan eksport adalah misi utama syarikat. Rancangan eksport untuk tahun 2020 bagimanapun terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Namun pada akhir November, jumlah kenderaan Proton yang dieksport ke luar negara telah melebihi angka keseluruhan tahun lepas.

“Memandangkan prestasi pasaran tempatan telah stabil, penekanan perlu diberi kepada usaha menjadikan Proton jenama automotif serantau dan global. Sebagai sebuah syarikat automotif nasional, kami mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

“Apabila jumlah eksport meningkat, komuniti vendor tempatan akan menerima manfaatnya. Justeru, kami akan membuat lebih banyak pengumuman mengenai aktiviti di pasaran luar negera pada masa hadapan,” kata Roslan lagi.

Sumber : Mekanika