Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad memohon maaf atas penghantaran yang rendah pada November iaitu sebanyak 20,299 unit akibat beberapa gangguan yang telah menjejaskan pengeluaran. Untuk memperbetulkan keadaan, Perodua telah mensasarkan pendaftaran bulanan tertinggi dalam sejarahnya dengan sekurang-kurangnya 30,000 unit pendaftaran kerana syarikat tersebut mensasarkan menjual 200,000 unit pada tahun ini.
“Kami ingin memohon maaf atas kelewatan penghantaran dan mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami atas sokongan dan kesabaran mereka, terutamanya dalam tahun yang paling mencabar setakat ini,” kata Dato’ Zainal.
Beliau berkata, untuk bulan November, Perodua mencatatkan 20,299 unit walaupun terdapat masalah bekalan di dalam ekosistem automotif tempatan. Pada perbandingan bulan ke bulan, jualan Perodua menurun sebanyak 27.1% daripada 27,858 unit yang didaftarkan pada Oktober 2021. (Bulan jualan tertinggi dalam sejarah Perodua setakat ini).
“Kami bekerjasama dengan ekosistem automotif untuk mengatasi isu-isu seperti peningkatan kes Covid-19 serta kekurangan bekalan cip semikonduktor; dan dengan langkah-langkah yang dilaksanakan, kami melihat Disember 2021 sebagai bulan terbaik kami,” Dato’ Zainal berkata.
Mengenai Myvi Baharu, yang dilancarkan pada 18 November 2021, Dato’ Zainal berkata syarikat itu telah berjaya mengumpul sebanyak 14,600 tempahan setakat 2 Disember 2021.
“November agak perlahan dari segi pendaftaran untuk model Myvi disebabkan terdapatnya jurang penghantaran bagi model itu kerana kami menunggu varian yang terbaharu untuk dilancarkan. Malah, daripada 14,600 unit yang ditempah, 7,189 tempahan telah beralih daripada varian sebelumnya,” jelasnya.
Setakat tahun ini (YTD), Perodua mencatatkan 42,288 unit Myvi antara Januari dan November tahun ini. Bagi keseluruhan jualan, Perodua mencatatkan 167,250 unit antara Januari dan November 2021, iaitu pengurangan sebanyak 14.2% berbanding 194,980 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Mengenai prospek 2022, Dato’ Zainal berkata Perodua mensasarkan sekurang-kurangnya 240,000 unit jualan iaitu 40,000 unit atau peningkatan sebanyak 20% daripada jangkaan 200,000 unit yang didaftarkan tahun ini. Beliau berkata, angka 240,000 itu adalah anggaran awal dan ramalan yang lebih tepat akan dikongsikan pada akhir Januari 2022 nanti.
“Kami percaya bahawa perkara terburuk berkaitan lockdown akibat Covid-19 berjaya diruskan sebaiknya, Insya Allah – dan walaupun terdapat risiko lain dalam pasaran, kami meramalkan tahun 2022 adalah tahun pemulihan.”
“Malah, berdasarkan maklumat dan ramalan semasa, kami menjangkakan kami boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 240,000 pendaftaran tahun depan memandangkan pasaran kembali stabil dan juga dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” kata Dato’ Zainal.
Beliau meramalkan bahawa permintaan untuk kenderaan akan meningkat dalam enam bulan pertama 2022 kerana orang ramai mahu mendapat manfaat daripada insentif pengecualian Cukai Jualan oleh kerajaan manakala separuh kedua akan menyaksikan permintaan semakin perlahan.
“Jumlah pendaftaran 240,000 adalah penting kerana kami mahu mengembangkan ekosistem automotif Malaysia.”
“Dengan pertumbuhan ini, kami menjangkakan pembelian komponen auto akan kembali kepada sekitar RM6.5 bilion untuk tahun depan. Kami akan berkongsi jumlah keseluruhan bahagian komponen yang dibeli untuk tahun ini pada bulan Januari,” kata Dato’ Zainal.