ROTATORY

Selepas kejayaan generasi pertama RX7 FB, Mazda kembali memperkenalkan model generasi kedua FC pada 1985. Di bawah kendalian Akio Uchiyama selaku Ketua Jurutera Projek, RX7 FC diberi nafas baru dan diinspirasikan mengikut gaya Porsche 924, bagi membolehkan ia menembusi pasaran dunia khususnya Amerika Syarikat.

Percaturan tersebut berjaya melonjakkan nama Mazda sebagai pengeluar paling berani menggunakan enjin ini untuk model produksi mereka. Hampir 270 ribu unit telah terjual, sebelum digantikan dengan model FD pada tahun 1992. Namun akibat peraturan emisi yang ketat, penggunaan enjin rotary telah dihentikan sepenuhnya pada tahun 2012, dengan model RX8 sebagai versi terakhir.

Ketiadaan enjin gantian yang setara, mungkin antara punca mengapa siri RX7 tidak lagi diterima ramai. Lebih-lebih lagi untuk model FC seperti ini, yang rata-ratanya sudah berusia 30 tahun. Barang gantian lain pun makin susah. Kerana itu, hanya peminat tegar saja yang sanggup bersusah payah memastikan kesinambungan kereta ini di jalanan.

Kesevan antara yang masih percaya dengan kehebatan model ini. Mana tidaknya, dalam keadaan tak bergerak pun orang dah usyar, belum nyetat enjin lagi. Untuk luaran, ia telah dipasangkan dengan kit badan lengkap RE Amemiya, diikuti penggunaan fender dan hood kustom, spoiler GT serta kit lampu tetap projektor.

Untuk rupa lebih seimbang, kedudukan kereta ditongkat pada set suspensi Cusco. Bahagian roda pula diisi rim RE Amemiya 17-inci bersama tayar Pirelli P Zero dari saiz 225/45R-17. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, kuasa hentian disalin menggunakan kit brek dari RX7 FD3S.

Peningkatan di bahagian enjin dibuat, selepas menggantikan enjin asal dengan enjin 13B-REW. Memastikan kuasanya tidak mudah bocor, bahagian apex seal pada rotor telah digantikan dengan komponen berprestasi dari Super Seal. Tidak ketinggalan, kerja-kerja porting (half bridge) di bahagian perumah rotor, sekaligus mengoptimumkan proses pembakaran.

Sistem pendesak diubah menggunakan turbo tunggal TD06H, yang tertenggek di atas manifold turbo kustom, sambil ditemani wastegate dari HKS. Untuk proses sejukan, boost yang terbentuk akan melalui intercooler HKS, dengan paip sambungan kustom. Ia kemudian dibawa ke mulut throttle body Super90, yang melekat pada sebuah manifold kemasukan kustom.

Sumber bahan api dibekalkan oleh pam petrol Walbro terus ke injektor 750cc. Sebuah pelaras bahanapi Sard, kemudiannya ditugaskan mengawal tekanan dan proses balikan petrol ini. Bagi menjamin proses pembakaran yang sempurna, pemetaan ECU diubah menggunakan piggyback HKS F-Con PFC dan GCC. Giler olskool benda nih. Tuning pakai dail pulas-pulas tuh. Punyalah susah nak tuning dulu-dulu…

Kesemua komponen penting pada ruang dalaman, masih kekal di tempatnya. Bagi memberi feel lebih moden, ia turut mengandungi sepasang tempat duduk Recaro, stereng Momo, knob gear billet B&M serta set roll cage di bahagian belakang. Untuk tujuan pemantauan, disediakan 2 buah meter tambahan untuk bacaan A/F dan boost.

Atas faktor yang dinyatakan, tidak ramai yang sunggup membela kereta sukan seperti ini. Namun kewujudan bengkel pakar seperti Dom Racing, banyak membantu pemilik rotary meneruskan minat mereka.

SPESIFIKASI