Rekaan Yang Diilhamkan Dari Mentadak Mentadu.

Perbezaan gaya modifikasi antara Malaysia dan Indonesia dapat dinilai dari sudut penghasilan kerja khusus pada bodywork. Kerja fabrikasi badan kereta sama ada menggunakan plat besi, gentian kaca, gentian karbon atau aluminium tetap dimenangi oleh warga kerja di Indonesia. Bagi sebuah negara yang mana anda perlu jadi kuat untuk terus hidup dek ketidakseimbangan ekonominya, secara tidak langsung ia menghasilkan individu yang kreatif pada skala yang lebih besar.

Lihat pada industri hiburan mereka, lounge dan pub yang menghidangkan live band, 100 peratus dari bakat tempatan. Malaysia? Mungkin 80 peratus dari Filipina. Jangan ke hotel dan kompleks beli-belah yang besar, di pinggir jalanraya Jakarta juga dapat dilihat dengan jelas bagaimana orang menghasilkan produk seperti gitar mini, topi keledar pelbagai gaya, jaket kulit yang cukup murah malah segala bentuk aspek yang biasanya berdaya kreatif cukup mudah ditemui di sana.

Berbalik kepada persoalan modifikasi kenderaan, apa yang saya dapat perhatikan beberapa tahun kebelakangan ini, mereka telah maju beberapa langkah di hadapan. Ini adalah contohnya, kereta yang digelar Walang Khadung oleh pemiliknya Rudy yang juga merupakan pengusaha bengkel modifikasi kosmetik berpangkalan di Jogjakarta. Persoalan pertama yang bermain di minda saya ialah jenis kereta apakah ini? Kalau di Amerika, kereta full custom begini dihasilkan dari tiub besi yang dicanai dari rekaan kosong. Berbeza di Indonesia, mereka mengambilnya dari sebuah model penumpang klasik iaitu sebuah pikap Chevrolet Deluxe keluaran tahun 1951.

Kereta ini dibina khusus untuk pameran dan pertandingan. Badan asal Chevy ini telah ditanggalkan sepenuhnya hingga ke bahagian tulang kerangka yang memegang enjin dan juga platform kabin. Dari sini, ia dipadankan dengan enjin Chevy 350 CI dengan pelbagai aksesori dari Billetspecialties, sebuah syarikat yang mengkhusus kepada enjin Amerika. Enjin kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automatik dog box GM model PT4L60E.

Badan kereta dibina semula menggunakan keluli dengan rekaan yang diilhamkan dari serangga mentadak mentadu. Pintunya dibuka dari depan seakan-akan pesawat pejuang F16. Penggunakan efek airbrush dengan garis halus memang cukup teliti malah lengkok badan kereta ini nampak cukup selari seolah-olah ia dibina berdasarkan teknologi komputer sepenuhnya.

‘Ekor’ kereta ini lebih panjang bila konfigurasi enam roda digunakan secara keseluruhan. Kerendahan diperolehi dengan menggunakan sistem suspensi udara yang amat popular di sana. Apabila telah lengkap begini, keputusan untuk memasukkan sistem audio pun dibuat dengan menampilkan teknologi kawalan penuh dengan sistem multimedia jenis tanpa wayar.

Unit Samsung Galaxie tab digunakan sebagai medium pengawal utamanya. Pemain DVD jenis 2-din Pioneer mengepalai sistem dengan dibantu produk Venom. Ia terdiri daripada 5 unit amplifier monoblock yang memacu 4 unit woofer 12” dan 6 woofer 10”. Tiga unit amplifier 4 channel pula diarahkan untuk memandu satu set speaker split dan 5 set speaker coaxial. Kapasitor juga dipasang untuk memastikan bekalan kuasa kepada unit speaker ini sentiasa mencukupi.

Secara praktiknya, sistem audio yang dipasang pada Walang Khadung ini bukanlah direka untuk menghasilkan dentuman bunyi yang menggegar seluruh dewan. Tebatan, laluan dan kekangan saiz, dimensi serta corak pemasangan adalah halangan utama. Namun apa yang cuba disampaikan menerusi gandingan ini ialah persembahan kenderaan ini dalam satu pakej pameran yang mampu menarik ramai orang untuk melihatnya. Walaupun di Indonesia penghasilan kereta custom begini bukanlah sesuatu yang asing namun kenderaan ini benar-benar berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Menurut wakil Kar Hifi di sana, trend menghasilkan kereta begini digemari beberapa kelompok pembikin badan kereta. Natijahnya mampu membantu meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan. Ia bukan sahaja tentang kereta, ia merangkumi industri yang terbabit seperti cat, roda, kerja kimpalan, suspensi, audio, aksesori kereta dan enjin. Secara tidak langsung menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menguntungkan negara.

Syabas!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 35