PUR LAVANDE

Ini antara model klasik Civic yang masih dimainkan sehingga hari ini. Dah lebih 30 tahun kot, boleh kira klasik jugaklah. Walaupun nampak petak dan bersegi, rupa parasnya masih lagi senonoh berbanding kebanyakan model terkini.

Generasi keempat Civic EF diburu kerana sifatnya yang lincah dan ringan. Kerana itu, tidak hairanlah jika ia sering menjadi pilihan untuk aksi di litar. Banyak yang kecundang tanpa kasih sayang. Namun bagi peminat yang purist, ia juga antara model yang perlu mendapat pembelaan dan dihargai. Misalnya kereta ini yang telah dibina semula oleh pemiliknya Afiq, bagi meneruskan minat dalam dunia modifikasi.

Civic EF merupakan antara model terawal, yang menerima enjin berprestasi VTEC untuk varian tertinggi. Disebabkan enjin asalnya semakin purba, sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula kuasanya. Pilihan memang banyak, nak masuk K20A Type R pun boleh. Namun Afiq lebih senang memilih, untuk mengunakan resepi enjin kacuk-kacuk. Alah barang kutip-kutip je pun, janji boleh jalan.

Asasnya menggunakan blok B20B dari Honda CRV, sebelum diisi set piston F20B bersaiz 85mm dari Accord CF4. Lain-lain perubahan tertumpu di bahagian kepala silinder B16A yang digunakan, seperti penempatan camshaft, spring injap, retainer, serta manifold kemasukan B16B Type R.

Kemasukan udara dibawa melalui ram udara Mugen terus ke unit throttle body Super90.  Suapan bahan api kemudian ditembak oleh set injektor H22A, sebelum tekanannya dilaras menggunakan regulator dari Arospeed. Keseluruhan perjalanan enjin seterusnya diselia oleh unit ECU P30, dengan cip talaan Neptune. Lain-lain komponen yang terlibat termasuklah kabel pencucuh NGK R09, cam pulley Arospeed, serta radiator aloi Sard.

Yang lama tak semesti nampak tua. Jadi beberapa perubahan penting telah dilakukan pada sudut luaran. Salinan kit badan dan aksesori Civic EF9 dah memang wajib, sebelum diserikan dengan hood dan fender gentian karbon. Pelengkap kepada rupa keseluruhan adalah pilihan kalernya yang acah-acah Ambi Pur Lavender.

Kereta ini datang dengan sistem suspensi double-wishbone dan gantungan bebas, yang jauh lebih maju berbanding model saingan. Hal ini juga telah menjadikan ia sebuah kereta pacuan depan yang agak lincah. Bagi memantapkan lagi karektor berkenaan, keseluruhan sistem gantungan telah dipadankan dengan set suspensi boleh laras dari Apexi. Manakala kuasa hentian, kini dilengkapi komponen brek milik Prelude BB4 untuk depan serta Civic EF9 di ruang belakang. Turut mengisi ruang rodanya adalah rim kurang femes jenis Mugen NR, beserta tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/55R-15.

Ruang dalaman masih berkeadaan asal, kecuali penggunaan papan pemuka dan meter milik CRX. Ia turut diserikan dengan sepasang tempat duduk kuning Recaro SR3 Tomcat, selain harness dari Takata. Tiada sebarang meter tambahan yang digunakan. Lain-lain komponen yang turut membantu termasuklah stereng Mugen, pedal Mugen, serta karpet belang-belang Honda Access.

Bertuankan Afiq, EF Lavender ini tentunya lebih bernasib baik berbanding kawanan lain yang terpaksa menghabiskan sisa hidup mereka di litar lumba…

 

SPESIFIKASI