PROTON-MSF Merdeka Race Carnival 2022, Paling Meriah dan Mengujakan!

Sepanjang bulan Ogos sehingga September ini, pelbagai aktiviti dan program dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia. Antara yang berjaya mencuri tumpuan, pastinya penganjuran PROTON-MSF Merdeka Race Carnival 2022 pada hujung minggu lalu.

Dianjurkan oleh MSF dengan kerjasama PROTON, Merdeka Race Carnival yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang ini diadakan selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Ogos lalu. Dikatakan sebagai acara Merdeka Race paling gempak, hangat dan mengujakan pernah diadakan.

Pelbagai aktiviti disediakan khusus untuk para peminat sukan permotoran yang turut dapat dinikmati oleh seluruh keluarga. Antara aktiviti yang disediakan termasuk Proton R3 Race Cars Taxi Ride, – Experience Sepang dalam kereta Proton, Precision Driving Challenge, Demonstrations & Shows, pandu uji atas jalan untuk semua model kereta Proton, trek Hot Wheels, reruai dan juga taman tema mini untuk kanak-kanak.

Hujung minggu ternyata dipenuhi dengan aktiviti yang dapat diluangkan bersama keluarga. Ada yang mengambil kesempatan ini membawa keluarga masing-masing dan menyaksikan dengan lebih dekat aksi-aksi mengujakan seperti aksi kereta yang membuat pusingan hanya dengan dua roda.

Selain itu, ada juga yang berpeluang menikmati pengalaman perlumbaan bersama bekas pelumba BTCC, ATCC dan SUPER GT JAPAN iaitu Fariqe Hairuman aka Wak Tempe. Tidak ketinggalan juga aksi-aksi mendebarkan yang dipamerkan semua para peserta sepanjang berlangsungnya MSF Merdeka Races!