Perodua D55L, Kini Dibuka Untuk Tempahan

Model Perodua paling canggih setakat ini, Perodua D55L kini dibuka untuk tempahan. Varian X, H dan AV ditawarkan dengan harga tentatif atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

“Perodua D55L merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Antara ciri utama D55L adalah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*). Terdapat pada semua varian, ASA terkini mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa, dan mampu mengesan kenderaan dua-roda.

Turut terdapat pada semua varian adalah Lane Departure Warning and Prevention, manakala varian AV didatangkan dengan Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Disebabkan ciri-ciri tersebut, Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

“Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan Autonomi Tahap 2 yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua,” kata Dato’ Zainal.

“Kenderaan SUV kekal popular, dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” tambah beliau.

Perodua D55L juga merupakan kenderaan turbo pertama Perodua, selari dengan trend downsizing global, dan model Perodua pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 km/l – terbaik dalam kelasnya.

Lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sesentuh 9-inci dengan voice recognition.

“Memandangkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka berakhir pada akhir-Jun, jangan tunggu lagi untuk menempah – penasihat jualan kami yang sah bersedia membantu anda dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perodua D55L di semua pusat jualan kami di seluruh negara, dengan pematuhan ketat garis panduan COVID-19 demi kesihatan dan keselamatan anda,” kata Dato’ Zainal.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue – varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Tiga warna terakhir adalah baharu buat Perodua. Varian AV boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam. Waranti lima tahun/150,000 km ditawarkan.