Tahun lepas, terdapat khabar angin bahawa Toyota menerima tempahan yang sangat tinggi untuk Land Cruiser baharu yang terpaksa menunggu selama 4 tahun untuk dipenuhi. Kini, pengeluar dari Jepun itu telah mengesahkan khabar angin tersebut dengan sebuah permohonan maaf yang dinaikkan di laman sesawangnya.
Berikut, terjemahan permohonan maaf seperti yang dilaporkan oleh Motor1;
“Terima kasih kerana minat dan tempahan terhadap kenderaan keluaran kami. Land Cruiser menerima sambutan yang amat menggalakkan di Jepun dan seluruh dunia. Kami memohon maaf kerana mengambil masa terlalu lama untuk menghantar Land Cruiser kepada anda selepas membuat tempahan. Sekali lagi, kami memohon maaf,”
Menurut permohonan maaf itu lagi, Toyota memaklumkan semua tempahan yang dibuat sekarang akan mengambil masa selama 4 tahun untuk dihantar. Walaubagaimanapun, mereka tetap mencuba untuk menyingkatkan masa penghantaran.
Dalam hanya beberapa bulan selepas pelancaran Land Cruiser terbaharu, Toyota dilaporkan menerima tempahan yang sangat tinggi dan harus menunggu selama setahun untuk penghantaran. Sejak itu, lebih ramai pelanggan yang berminat untuk memiliki SUV terbaharu itu.
Sumber : Motor1