Sebagaimana di Malaysia, SUV tujuh tempat duduk di Indonesia juga memperlihatkan persaingan yang agak sengit. Antara model yang popular di sana adalah Toyota Avanza, Toyota Rush dan juga model Daihatsu Terios. Namun begitu, ia dibahagikan pula mengikut bajet, di antara yang berkemampuan dan juga yang membayar ansuran setiap bulan.
Baru-baru ini, Astra Daihatsu Motor yang merupakan pengedar jenama rasmi Daihatsu di Indonesia telah mengemaskini produk Daihatsu Terios. Menurut laporan yang dikongsikan oleh laman web Mekanika, Daihatsu Terios antara jenama yang paling laku selepas Daihatsu Gran Max Pick Up dan Daihatsu Sigra.
Bagi mengekalkan momentum, beberapa perubahan dilakukan ke atas Daihatsu Terios sekaligus memberikan saingan kepada para pesaing lain di pasaran. Perubahan yang dimaksudkan adalah penambahan fungsi Eco-Idle terhadap SUV .
Selain itu, ciri-ciri lain yang turut ditambahkan adalah VSC (Vehicle Stability Control) dan juga HSA (Hill Start Assist) pada model varian X (standard). Daihatsu Terios mempunyai sembilan varian yang ditawarkan kepada pengguna di sana dengan varian Daihatsu Terios X (Manual) sebagai model paling standard sehinggalah kepada varian Daihatsu Terios R Custom (Auto) sebagai model paling tinggi. Perbezaan harga juga agak ketara, varian X dimulai sekitar Rp.205.100.000 (RM60,345) sehingga ke Rp.255.600.00 (RM75,204) untuk varian tertinggi.
Kalau dilihat dari sudut kosmetik dan eksterior, Daihatsu Terios memang serius memerlukan sedikit lagi perubahan. Apatah lagi dengan pelancaran terbaharu Honda BR-V, bukan calang-calang pesaing yang ada di pasaran sekarang!
Sumber : Mekanika