Peningkatan Permintaan Kereta Mewah Di Korea

Ketika ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu dan pasaran automotif kelihatan baharu sahaja mahu bangkit kembali, lain pula ceritanya di Korea Selatan. Ya, pasaran kereta mewah dan supercar kini sedang mencanak naik di sana walaupun selepas satu dunia dilanda wabak Covid-19. Kenapa macam tu? Negara lain memang boleh dikatakan lebih 50 peratus jualan terjejas akibat wabak pandemik ini.

Rahsianya ialah sistem kesihatan awam Korea Selatan yang sangat efisien dan berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 dengan lebih berkesan berbanding negara lain. Mereka memulakan ujian saringan awal dan pelbagai langkah pencegahan seawal mungkin ketika satu dunia kebanyakan kerajaan masih berada di peringkat penafian. Hasilnya ialah kemewahan negara yang menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap kereta-kereta mewah dan supercar.

Malahan Reuters turut melaporkan yang pendapatan bulanan penduduk terkaya di Korea Selatan meningkat dari 6 sehingga 20 peratus dari Januari sehingga Mac tahun ini. Malangnya tiada sebarang peningkatan dalam pendapatan penduduk miskin dan berpendapatan rendah. Golongan berpendapatan tinggi mendapat faedah hasil kenaikan harga pasaran saham dan hartanah walaupun pengangguran mencapai angka tertinggi beberapa bulan lepas.

Kini golongan atasan memilih untuk melabur dalam pasaran automotif dengan membeli BMW, Porsche dan Lamborghini dan bukan lagi dalam pasaran hartanah. Pelik juga set-set jutawan K-Pop ni kan?

Porsche dan BMW menjadi sangat popular sehinggakan menyukarkan pengedar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Jualan model eksotik meningkat 70 peratus dari Januari hingga Mei berbanding tahun lepas dan BMW mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 46 peratus. Lamborghini lagi dahsyat dengan peningkatan jualan sebanyak 4 kali ganda bersamaan dengan 115 unit dalam tempoh yang sama.

Peningkatan jualan ini mungkin akan terhenti seketika kerana kesukaran mendapatkan bekalan. Banyak kilang pengenalan yang ditutup akibat wabak tempohari dan kini mereka sedang mengejar masa untuk memenuhi tempahan pelanggan. Tapi para pengeluar model mewah dan eksotik kini sudah mula membuat catatan dalam diari mereka. Orang Korea Selatan bukan hanya suka menyanyi, mereka juga sangat sukakan kereta-kereta mewah dan supercar.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ