Pengganti Alza Bakal Dilancarkan Tahun Ini?

Selepas SUV kompak Ativa, pengguna di Malaysia kini tidak sabar untuk menunggu satu lagi model terbaharu daripada Perodua.

Terbaharu, timbul khabar angin bahawa jentera berkenaan bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini. Pengenalan MPV yang lebih dikenali dengan kod nama D27A dilihat memang tepat pada masanya, memandangkan Alza sudah begitu lama berada di pasaran.

Memetik laporan Paultan BM, berita tersebut timbul selepas vendor Perodua, Sapura Industrial Berhad (SIB) memberitahu ia sedang membangunkan komponen untuk D27A.

Menurut laporan tahunannya, SIB dikatakan sedang dalam proses membangunkan beberapa komponen untuk model gantian Alza (D27A) yang dijangka diperkenalkan pada hujung tahun 2021.

Syarikat itu juga diminta oleh Akashi Kikai Industri Malaysia yang merupakan vendor Tier 1 bagi model transmisi Perodua untuk membekalkan Case Differential Assembly. Komponen tersebut diramal menjalani pengeluaran massa pada Disember 2021.

Jadi, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa ini menjadi bukti paling kukuh mengenai kewujudan model pengganti Alza. D27A bermula sebagai model konsep dikenali sebagai DN Trec yang dipertontonkan kepada umum oleh Daihatsu pada acara Tokyo Motor Show 2017.

Menyentuh tentang enjin pula, MPV itu mungkin akan menggunakan enjin 1.0 liter turbo seperti yang ada pada Ativa sekarang. Apa pun, kita tunggu sahaja. – kredit foto: theophilus chin

Sumber : Mekanika