Pengeluaran Terhad Sempena Ulang Tahun ke-75

Baru-baru ini, Maserati mengumumkan edisi istimewa untuk pelancaran terbaharu GranTurismo berdasarkan varian Trofeo dengan pengeluaran terhad sebanyak 75 unit untuk setiap dua kemasan yang ditawarkan. Model ini digelar sebagai Maserati GranTurismo Trofeo PrimaSerie 75th Anniversary Launch Edition, nama yang sangat panjang sekali gus menjelaskan semuanya sendiri!

PrimaSerie (edisi pertama dalam bahasa Itali) dibina untuk meraikan ulang tahun ke-75 Maserati. Edisi istimewa ini disediakan secara eksklusif dalam dua warna dengan aksen serta sentuhan istimewa dalam kabin 2+2 serba mewah. Pilihan pertama menggabungkan eksterior Grigio Lamiera Matte dengan aksen Corse Red pada emblem, gill sisi dan sekeliling rim aloi dengan kemasan berwarna hitam dan emblem 75th Anniversary di tengah-tengah penutup.

Jika anda mahukan sesuatu yang lebih gelap, boleh memilih warna yang boleh berubah Nero Scarabeo Matte dikombinasikan bersama aksen Mint Green. Kedua-dua konfigurasi ini menampilkan gentian karbon pada bahagian intakes, lip spoiler dan diffuser, ciri-ciri kelebihan yang diambil dari bodykit lebih sporty dan paip ekzos yang ada pada Trofeo.

Bahagian interior pula memperlihatkan kombinasi Hitam dan Ice upholstery kulit bersama dua warna samada Corse Red atau Mint Green pada jahitan serta beberapa perincian kecil yang sepadan dengan eksterior. Logo 75th Anniversary telah ‘dijahit’ di atas keempat-empat headrest dengan kemasan warna yang sama seperti lencana GranTurismo pada dashboard.

Dijangkakan, edisi istimewa ini bakal dipadatkan dengan beberapa kelengkapan termasuk kluster instrumen digital 12.2-inci, skrin sesentuh infotainment 12.3-inci, skrin sesentuh kedua berukuran 8.8-inci untuk kawalan suhu, jam digital dan juga sistem audio Sonus Faber.

Namun begitu, tiada perubahan mekanikan pada GranTurismo Trofeo ini yang bermaksud ia masih mengekalkan enjin paling berkuasa V6 Nettuno 3.0 liter twin-turbo yang menghasilkan 550hp (410kW/557 PS) dan tork 650Nm (479lb-ft). Manakala kuasanya disalurkan ke axle belakang menerusi kotak gear automatik yang membenarkan pemecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat, 0-200km/j dalam masa 11.4 saat dan kelajuan tertinggi pada 320 km/j (199 mph).

Buat setakat ini, Maserati belum mendedahkan mahupun mengumumkan harga untuk 150 unit GranTurismo Trofeo PrimaSerie tetapi ia pastinya jauh lebih mahal berbanding Trofeo standard. Bagi GranTurismo Folgore elektrik penuh yang dikatakan sebagai versi kereta paling berkuasa ini, bakal berada di pasaran sedikit hari lagi.

Sumber : Carscoops