Penampilan Yang Lebih Menarik Dan Berani

Baru-baru ini, Honda Malaysia telah mengumumkan dua pilihan warna baharu untuk BR-V (Bold Runabout Vehicle) keluarannya; Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Kedua-dua warna ini menggantikan pilihan warna sedia ada iaitu Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Hironobu Yoshimura berkata, Honda Malaysia telah memperkenalkan warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic untuk model hatchback serta sedan seperti All-New City Hatchback, City dan All-New Civic. Manakala Accord juga menawarkan warna Meteoroid Gray Metallic. Kesemua pilihan warna ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di pasaran.

Justeru, Honda meluaskan lagi pilihan warna baharu ini untuk crossover 7-tempat duduk. Warna Ignite Red Metallic membuatkan penampilan BR-V bertambah menarik di samping kelihatan lebih berani. Manakala warna Meteoroid Gray Metallic membuatkan ia tampil lebih lasak. Pihak Honda Malaysia juga yakin dengan pengenalan tawaran warna baharu ini akan disambut baik dan mengujakan kepada para peminat dan pelanggan untuk membeli BR-V.

Sejak dilancarkan pada Jun 2020, BR-V crossover dengan 7-tempat duduk ini telah terjual lebih daripada 5,700 unit setakat April 2022 yang lalu. Prestasi yang menggalakkan ini adalah hasil dari rekaan yang memenuhi citarasa para pelanggan yang mendambakan kenderaan 7-tempat duduk dengan rekaan SUV yang bergaya, seronok dipandu dan serba boleh.

Bagi makluman, BR-V ini dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC dengan CVT (Continuous Variable Transmission) yang menghasilkan kuasa ouput maksima 120PS. Meningkatkan lagi prestasi pemanduan, BR-V ini turut didatangkan dengan shift Paddle yang hanya didapati menerusi varian V.

Kebanyakan pemilik BR-V sangat tertarik dengan versatiliti yang cemerlang serta ruang yang serba luas yang membolehkan mereka membawa barang-barang yang besar. Ia juga menawarkan ruang trunk dengan 223 liter apabila kesemua tempat duduk dinaikkan.

Konfigurasi yang pelbagai membolehkan pemilik untuk memaksimakan ruang kargo mengikut keperluan; 60:40 One Touch Tilt & Tumble pada barisan kedua dan 50:50 Tilt & Full Tumble untuk barisan tempat duduk ketiga. Ruang trunk menjadi lebih besar iaitu 539 liter apabila barisan tempat duduk ketiga dilipat ke atas.

Selain itu, BR-V juga dilengkapi dengan beberapa ciri menarik seperti tweeter, lampu cargo dan juga penapis kabin. Bagi memeriahkan lagi keseronokan berada di bahagian kabin, ia turut didatangkan bersama Display Audio 7-inci dan rekaan dalaman yang terdiri daripada sarung tempat duduk kulit dan tombol gear berwarna merah.

Bagi memberi keselesaan dan kemudahan untuk semua pemilik BR-V, Honda Malaysia menyediakan penghawa dingin yang berfungsi secara automatik, Smart Entry dan butang pemula sebagai spesifikasi standard untuk semua varian. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana wakil pengedar di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol Honda Malaysia iaitu 1-800-88-2020.