Pek Instrumen Digital Lotus Dengan Pra-Isian Lebih 4000 Data Litar Seluruh Dunia
Dunia digital dan kereta sekarang ini sudah sebati. Semakin banyak kereta menggunakan perkakasan digital bukan sahaja untuk kawalan penyaman udara atau multimedia tetapi juga sehingga ke gugusan meter kelajuan. Terbaru Lotus menawarkan satu perkakasan menarik iaitu Pek Instrumen Digital (Digital Instrument Pack) yang boleh dipasang pakai (plug and play) dengan pra isian lebih daripada 4,000 litar lumba di serata dunia.
Papan pemuka digital itu juga canggih dengan teknologi GPS dan indikator prestasi pusingan (lap) yang membolehkan pemandu mengukur, memaparkan dan merakam data bagi menyempurnakan laluan perlumbaan (racing line) dan masa pusingan pemanduan (lap times) di litar.
Direka untuk Lotus Elise dan V6 Exige yang dibina dari tahun 2008 dan ke atas, perisian sistem ini dilengkapi perincian 4,127 trek perlumbaan dan berupaya mengecam litar tersebut secara automatik apabila pemandu berada berhampiran. Pemandu boleh memuat turun koordinat garisan mula dan tamat (start/finish line) bagi mengira masa pusingan, menganalisis prestasi mereka dalam masa nyata (real time) melalui paparan digital atau kemudian dengan memuat turun data ke komputer riba.
Perkakasan digital ini turut mempunyai input kamera yang membolehkan pemandu memasang kamera aksi bagi merakam sesi di litar. Pek Instrumen Digital direka supaya sepadan untuk dipasang pada papan pemuka Elise atau Exige dan menggantikan meter asal.
Bagaimana dengan harga? Ia boleh dibeli di pasaran antarabangsa yang memasarkan Elise dan Exige pada harga £1,470 (RM7,883) dan khidmat pemasangan ditawarkan pada kos tambahan. Pemasangan oleh pengedar Lotus turut didatangkan dengan dua tahun jaminan. Dengan segala data dan fungsi yang ditawarkan, Pek Instrumen Digital Lotus ini dilihat sepadan dengan harga. Kereta automatik nampak moden dan canggih seperti kereta baharu di pasaran.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ