Pasukan Jepun Berjaya Muncul Dengan Rekaan Yang Kini Menjadi Sebahagian Rekaan Terbaharu Itu!

Sebelum Nissan Z 2023 dikeluarkan, pelbagai isu dibincangkan khususnya tentang rekabentuknya yang mana telah dipratontonkan bersama Z Proto. Secara amnya, ia berunsur positif dan hanya beberapa kritikan diterima. Kini, tiba masa untuk mendedahkan nama-nama di sebalik rekaan Nissan Z ini. Pereka untuk bahagian eksterior ialah Naoyuki Ohkoshi dan pereka interior pula, Takuya Yamashita.

Naoyuki Ohkoshi bukanlah satu nama baharu malah, beliau merupakan seorang veteran Nissan yang menyertai pasukan ini pada tahun 1997. Manakala Takuya Yamashita masih lagi dianggap rookie yang menyertai pasukan ini sejak empat tahun yang lalu.

Dalam sebuah sesi temubual, kedua-duanya sangat gembira dan menganggap ianya sebagai satu penghormatan untuk merekabentuk coupe Jepun yang ikonik ini. Namun begitu, idea untuk menghasilkan kereta Z ini bukan semata-mata dari mereka berdua.

Sebelum itu, sebuah pertandingan rekabentuk yang dilakukan di peringkat global dari beberapa pasukan Nissan termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga United Kingdom. Sebanyak 100 penyertaan telah diterima dengan model lakaran dalam bentuk 3D. Hanya 3 dari 100 penyertaan tadi telah disenarai pendek dan dijadikan dalam bentuk model saiz penuh.

Pegawai eksekutif yang dilantik telah ditugaskan untuk memilih pemenang dan ternyata penyertaan dari pasukan Jepun muncul sebagai pemenang keseluruhan. Yamashita juga berkongsi interior Nissan Z seharusnya menjadi evolusi kepada model Z semasa. Namun, pihak eksekutif telah campur tangan dan mahukan sesuatu yang lebih bagus untuk menandingi rekabentuk eksterior. Keputusan ini sekaligus membuat dia berpuas hati dan berbangga dengan hasilnya.

Ohkoshi dan Yamashita merupakan sebahagian pasukan ini yang diketuai oleh Satoru Tai dan Alfonso Albaisa, pereka utama Nissan Z.

Bagaimana pendapat anda dengan penampilan Nissan Z 2023 ini?

Sumber : Motor1