Pandu Uji Dalam Acara Ride & Drive!

Selepas memperkenalkan chasis Volvo B11RLE 6×2 ke pasaran bas di Malaysia, Volvo Buses kini melancarkan bas dua tingkat Volvo B11RLE 6×2 yang pertama kali dibina sepenuhnya dan menjemput pelanggan untuk merasai sendiri pengalaman di acara Ride and Drive.

Majlis yang diadakan di pejabat Volvo Group Malaysia Shah Alam telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook dan Duta Sweden ke Malaysia Dr. Joachim Bergstrom. Ini merupakan bas dua tingkat Volvo B11R Low Entry 6×2 yang dibina sepenuhnya dan pertama kali dipamerkan serta beroperasi di atas jalan raya di Malaysia sejak chasisnya diperkenalkan pada tahun 2022.

“Sebagai pengantara di antara negeri dan perjalanan rentas sempadan, bas ekspres memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan di Malaysia. Perjalanan bas antara bandar memberi perkhidmatan ke sesuatu kawasan atau bandar yang mungkin sukar ditujui, selain menawarkan alternatif yang lebih fleksibel dan ekonomikal kepada rakyat.

“Jadi, kami sangat teruja untuk melihat pengeluar seperti Volvo bekerjasama dengan rakan pembuat badan bas tempatan seperti Truckquip dalam menghasilkan produk-produk yang dibina khas demi memenuhi keperluan operasi di peringkat tempatan. Seterusnya memberi pengalaman menaiki dan memandu kepada pengendali syarikat bas. Kami percaya usaha ini akan menggalakkan lebih banyak usaha dan pelaburan ke dalam industri bas tempatan yang akhirnya memberi manfaat kepada para pelanggan apabila dapat menawarkan perjalanan yang lebih selamat, selesa dan menyeronokkan,” kata Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook.

Dianjurkan bersama oleh Volvo Buses dan rakannya Truckquip Sdn. Bhd. (TQ) di kilang pemasangan chasis Volvo di Malaysia, acara Ride and Drive bermula di pejabat Volvo Buses Malaysia di Shah Alam. Acara berkenaan menyaksikan para peserta menyertai rombongan perjalanan di sekitar Shah Alam dan merasai sendiri pengalaman melalui pelbagai bentuk permukaan jalan. Ia nyata dapat memberi pengalaman kepada mereka menaiki bas dua tingkat Volvo B11RLE yang baru dibina buat pertama kalinya.

“Ini adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan,” kata Naib Presiden Volvo Buses Asia Pacific, Mats Nilsson. “Malaysia ialah satu-satunya pasaran di Asia yang menawarkan Volvo B11RLE, ia dipasang dan dibina di Malaysia. Selain direka khas bagi memenuhi ekspektasi, keperluan penumpang dan operasi di dalam negara ini. Hari ini merupakan kali pertama kami memperkenalkan bas yang dibina sepenuhnya, selain menawarkan pengalaman menaiki dan memandunya. Dengan menawarkan satu model produk yang spesifik dan yang dibina khas untuk satu pasaran, ia jelas menunjukkan komitmen kami ke atas pembangunan sektor pengangkutan awam di Malaysia. Kami juga yakin dengan pertumbuhan bas ekspres dan bas persiaran premium dalam pasaran bas di Malaysia.”

Volvo B11R yang hadir dengan ciri pintu masuk rendah menampilkan badan jenis ALPHA DD12 TQ. Ia direka untuk menjadi raja di jalanan dengan menawarkan keselamatan maksimum menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang dipertingkatkan melalui beberapa teknologi seperti Sistem Pemantauan Pemandu (DMS). DMS berfungsi memberi amaran jika pemandu tertidur seketika atau terleka ketika memandu.

Bukan itu sahaja, ALPHA DD12 TQ dibina sebagai sebuah bas yang mempunyai penampilan lebih lebar dan titik graviti rendah untuk memberi kestabilan lebih baik, terutama ketika memandu di atas lebuh raya. Sekali gus meningkatkan keyakinan pemandu, menambah baik aspek keselesaan dan keselamatan di atas jalan raya.

“Kerjasama di antara Volvo Buses dan TQ bermula sejak tahun 2015 dengan pemasangan chasis bas untuk pasaran tempatan. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dalam menghasilkan model bas Volvo B11RLE 6×2 yang direka khas untuk Malaysia. Ini sememangnya pendekatan bersifat ‘glo-cal’, produk canggih bersama pengalaman luas daripada Volvo, ditambah dengan reka bentuk badan badan bas yang memenuhi segala keperluan pengguna tempatan.

“Pasukan teknikal TQ bekerja siang malam sejak setahun lalu dengan sokongan binaan badan serta arahan daripada Volvo untuk menghasilkan bas dua tingkat yang menarik dan premium ini. Kami tidak sabar untuk meneruskan kerjasama seperti ini pada masa hadapan,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Warisan TC Holdings Berhad, Tan Keng Meng.

Bas dua tingkat Volvo B111RLE 6×2 yang baru dibina itu akan diserahkan kepada Sani Express Sdn Bhd (Sani). Syarikat itu telah menandatangani tempahan sebanyak 12 unit yang akan diserahkan sepanjang tahun ini dan bakal digunakan untuk perjalanan di antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Sani merupakan salah satu syarikat bas terbesar dari Kota Bharu yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan seperti di lapangan terbang, ulang-alik hotel, antara bandar dan operasi bas di bandar. Pengarah Urusan Kumpulan Sani, Wan Mohd Iskandar bin Dato Salleh yakin bahawa model Volvo B11RLE yang baru dibeli itu akan meningkatkan lagi rangkaian bas sedia ada miliknya ke tahap lebih tinggi kerana ia dapat menawarkan keselesaan luar biasa kepada pelanggan yang perlu mengharung perjalanan jauh.

Volvo Buses akan terus berusaha untuk pasaran bas di Malaysia dengan menyediakan penyelesaian terbaik bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pengendali syarikat bas pada setiap hari, selain memberikan pengalaman terbaik kepada penumpang tempatan!