PANDEM LELUMBA

Kereta ini mula dikesan ketika acara Speed Junkies yang berlangsung baru-baru ini. Lain macam sungguh gayanya. Terai juga cari sapa yang punya, tapi sampai sudah tak jumpa-jumpa. Sehinggalah Pian Kpop memaklumkan, yang dia kenal dengan pemilik kereta ini. Jadik…!!!

Hensem sangat ke? Dah tentu, sebab inilah antara model Civic EG6 yang berjaya disarungkan dengan kit badan kembang Pandem-Rocket Bunny by TRA Kyoto. Biasa tengok geng Silvia je yang pakai. Tidak keterlaluan, ini mungkin juga yang pertama seumpamanya memandangkan rakan-rakan lain masih dalam proses pembikinan.

Menurut Izzat, apa yang dipasang bukanlah kit orizainal dari Jepun atau US. Pakar fiber tempatan pun takde yang buat. Tapi merupakan kit pilihan dari Tembok Besar, dengan tag harga setaraf buah pinggang. Paling penting ia boleh dipasang terus, tanpa perlu mengubah itu dan ini.

Kit ini terdiri daripada 11 bahagian utama iaitu lip depan gaya Valence, bumper depan, sepasang fender lebar untuk depan dan belakang, skirt sisi dan belakang, serta spoiler. Pun begitu, skirt belakang dan spoiler yang agak overdose itu tidak digunakan, sebaliknya diganti dengan spoiler Spoon gentian karbon yang lebih senonoh.

Alasan untuk menyarungkan kit badan ini sebenarnya disebabkan oleh rim yang digunakan. “Sayang pulak nak jual, baik tebuk body,” kata Izzat sambil menggosok-gosok rim 17-inci jenis Weds Sport TC105X tuh. Selebar 9JJ dengan ET25, rim tersebut kemudian dipadankan dengar tayar Kumho Ecsta KU36 berukuran 245/40ZR-17 setiap satu.

Bagi mengelak kejadian menyapu jalan, kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras BC Racing. Sistem brek jua telah dinaik taraf, menggunakan brek Brembo Integra DC5 untuk depan, serta brek Civic EK9 di ruang belakang.

Bonus kepada penampilannya adalah nadi kuasa yang digunakan. Sebagai peminat tegar jentera perang Honda, Izzat telah mengambil keputusan untuk menyarungkan enjin K Series dari Civic FD2R kepada kereta ini. Disebabkan ia tidak dibina untuk menakluk litar, tiada sebarang perubahan dilakukan pada ruang dalaman enjin, kecuali penggunaan komponen penggalak kuasa di bahagian tertentu.

Kedudukan enjin diikat menggunakan cagak enjin dari Hasport. Memastikan penampilan yang kemas dan teratur, gumpalan wayar yang pernah kelihatan kini disorok sebaik mungkin menggunakan set harness dari Mil-Spec. Selain itu, mana-mana komponen kurang perlu juga telah ditanggalkan atau diganti dengan binaan kustom yang lebih baik.

Suapan udara dibawa masuk menerusi penapis udara Blitz. Ia akan melalui unit throttle body Super90, yang melekat kemas pada manifold kemasukan Skunk2 Pro Series. Hantaran bahan api pula menggunakan pam petrol OEM Civic FD2R, sebelum dibawa ke rel bahan api AEM dan set injektor OEM Civic FD2R. Memastikan perjalanan enjin ini sentiasa di tahap optimum, ia kini ditala sepenuhnya menggunakan unit ECU Link G4+ Plug-In.

Sistem transmisi dikacuk dengan set gear Civic FD2R dan Integra DC5. Memastikan hantaran kuasa yang jitu ke bahagian roda, ia kini dilengkapi set klac plet berkembar OS Giken. Akhir sekali binaan semula sistem ekzos menggunakan paip stainless steel sebesar 70mm, sebelum dihubungkan kepada muffler titanium dari Trust.

Bahagian dalam sebenarnya masih dalam proses naik taraf. Tempat duduk sebelah pun standard lagi. Buat masa ini, ia hanya diserikan dengan seketul tempat duduk Recaro RSG, tempat duduk belakang Civic EK9, serta panel pintu balutan alcantara. Senarai aksesori lain meliputi penggunaan tuas gear billet K-Tuned, stereng Momo Spoon, tombol gear Spoon, cermin belakang Spoon serta paparan meter Defi DIN.

Kelainan dibawa Izzat berjaya menambah warna kepada dunia modifikasi Lelumba. Takdelah statik dengan corak dan tema yang sama. Setiap kali dibawa keluar, kehadirannya pasti diberi perhatian kerana gayanya yang lebih menonjol berbanding lain…

 

SPESIFIKASI