NUEX HKS

Walaupun sudah dihentikan, siri Lancer Evolution masih jadi sebutan sehingga kini. Dari sebuah model homologasi lasak, ia terus dijulang sebagai sedan berprestasi yang cukup berjaya dan segani. Untuk kita di sini, pengaruhnya dah tentu lagi kuat. Semuanya bertitik tolak hasil kerjasama Proton dan Mitsubishi suatu ketika dulu.

Bagi yang sudah lama bergelumang dengan modifikasi Proton dan Mitsubishi, memiliki sebuah Lancer atau EVO mampu memberi kepuasan yang tersendiri. Selagi belum pudar semangat, masing-masing akan terus berusaha ke arah itu. Antara yang sudah membuktikan hal ini adalah Anuar Nuex, seorang pengusaha kedai aksesori yang boleh tahan femesnya. Itu pun kalau kau ada follow instagram dia lah!

Dari sebuah model asas, penampilan kereta ini telah ditingkat sepenuhnya menerusi pemasangan kit badan lengkap EVO VI TME. Diselitkan juga beberapa komponen tambahan lain seperti canard kustom, spoiler GT Velocity, lip depan karbon, serta cermin sisi mickey RalliArt. Sebagai langkah mencari kelainan, ia telah dicorak semula sebijik macam kereta sokan HKS. Okeylah tu, baru ada tema. Tapi bila dah bikin cenggini, memang takde can ler nak buat jahat bagai. Baru pasang niat, satu Malaysia boleh agak kereta mana.

Kecemerlangan sistem gantungan dicantikkan dengan set suspensi boleh laras dari Zeal. Jarang sangat dengor ada yang pakai. Proses hentian pulak, dibantu sistem brek Brembo yang datang bersama hafkat. Mengisi ruang roda adalah rim terlebih mangkok jenis Volk Racing CE28, yang digabungkan bersama tayar gemok Achilles ATR Sport dari saiz 235/45ZR-17. Tu pasal dapat rupa tegak semacam!

Sungguh tak macho kalau nadi kuasanya masih mengharapkan keupayaan enjin asal. Benda boleh bikin, rugilah kalau tak ambil peluang. Sebagai pilihan ia telah digantikan dengan enjin 4G63T dari EVO VI TME, yang hampir mustahil untuk diperolehi pada waktu ini.

Nuex belum bercadang untuk mengubah enjin ini tanpa usul periksa. Benda takde masalah, pakai jelah. Yang berubah cuma bahagian kepala silinder, yang menerima sepasang camshaft Duratech 272° beserta cam pulley boleh laras dari HKS.

Unit turbo TD05RA 16G juga masih dikekalkan pada manifold asal, sebelum dihubungkan kepada wastegate dari Tial bagi meredakan jumlah tekanan. Ia kemudian bersambung dengan unit intercooler Sard, menggunakan paip aloi dari RalliArt. Lebihan boost yang tidak digunakan, seterusnya dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.

Penyampaian bahan api ditugaskan kepada pam bertekanan tinggi Walbro 255, dengan unit regulator Works Engineering berperanan mengawal jumlah tekanan dan balikan. Bagi menguatkan kuasa letusan pada kebuk pembakaran, proses cucuhan menggunakan koil jenis COP dari enjin K Series. Memastikan talaan enjin boleh dilakukan dengan sempurna, unit ECU telah dipeta semula secara kustom, sekaligus melenyapkan halangan kilang yang wujud sebelum ini. Siap boleh keluar api lagi…

Sistem pacuan tak ketinggalan menerima peningkatan yang sepatutnya. Yang dimaksudkan, salinan sistem pacuan AWD sepenuhnya. Dah alang-alang bikin, biar sampai potong lantai. Memastikan hantaran kuasanya tak tergelincir, bahagian kotak gear kini dilapik set klac dari Triniti.

 

Bahagian dalam ingatkan ada audio dum-dum ngan lampu bling-bling, tapi sebenarnya tampil dengan gaya serba ringkas. Langsung tak macam kereta tokey aksesori. Selain salinan komponen milik EVO VI TME, Nuex turut menempatkan sepasang Recaro SR4 bertatah karbon di bahagian depan, serta tempat duduk Recaro TME untuk belakang. Kemudian ada tombol gear RalliArt, pedal aluminium Works Engineering, termasuk gugusan meter Defi Advance BF untuk tujuan pemantauan.

Nuex masih berkira-kira untuk merobak semula tema kereta ini kepada sesuatu yang lebih mari. Dah lama sangat katanya, elok jugak diberi rupa lebih segar. Kalau bikin ala Spoon atau Nismo, agak-agak kena kecam tak?